Sunday, November 10, 2013

:::Suatu Kisah Dahulu:::

Solla'alaikallah wa Solli'ala Saidina Muhammad, Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wasallam... 

Kisah ini adalah suatu "kisah" dahulu.. Bukanlah seperti yang dimainkan di pawagam tetapi realiti dan pengalaman diri ini yang sebenar..

Alhamdulillah diberi kesempatan berkongsi sesuatu malam ini. Sebenarnya aku ingin menulis tentang topik "Kembara Hamba", sambungan untuk entry yang lepas. Tapi aku tangguhkan dulu lalu menulis tentang "suatu kisah dahulu" kerana atas permintaan seorang hamba Allah yang sudi menjadikan diri ini inspirasi dalam mengejar cita-cita dan bermujahadah sebagai seorang anak, pelajar, dan hambaNya insyaAllah~

Walaupun begitu ingin aku tegaskan di sini bahawa aku bukanlah seorang yang sempurna. Sama sahaja seperti manusia lain yang dalam kekurangan dan tercari-cari peluang untuk kembali kepadanya. Ya, tiada siapa yang sempurna, barangkali hanya "limited edition" !     ^_^ v

Suatu kisah dahulu yang mengubah diri aku ke hari ini. Kerana yakin itulah jalan ku maka itulah aku di sana, di suatu tempat yang bernama "Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia".

Adakah kehebatan institusi Islam itu terletak pada namanya? Atau pada tenaga pengajarnya? Atau mungkin pelajar-pelajarnya..? Wallahua'lam. Tapi yang pasti ianya merupakan kesinambungan setiap entiti itu. Tanpa salah satu daripadanya maka tempanglah institusi yang gah itu.

Maka aku pun berazam meletakkan diri selayaknya dengan kemegahan nama tersebut kerana ingin bersama-sama menjadi entiti penting yang membawa kepada gemilangnya sebuah Taman Ilmu dan Budi, dan kerana aku sedar tanggungjawab dan tanggapan masyarakat yang memandang setiap isinya sebagai suatu imej yang tidak dapat disangkal lagi.

Bermula semester pertama dengan penuh mencabar. Kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris di samping aku yang hanya sekadar lulus matapelajaran berkenaan semasa SPM menyukarkan aku berinteraksi dan menguasai limpahan ilmu yang lain lebih-lebih lagi bahasa tersebut menjadi lingua franca di situ. Tapi aku tiada pilihan dan aku harus segera. Segera menyelesaikan masalah asas tersebut yang mana ianya menjadi medium untuk mengakses kepada yang lainnya.

Pengalaman ketika ditemuduga untuk masuk dalam jurusan pengajian Sains Kemanusiaan takkan pernah aku lupakan. Seorang yang hanya memperoleh gred 7D untuk matapelajaran Bahasa Inggeris dalam SPM sedang cuba mencipta sejarahnya yang tersendiri, sedangkan belum pernah seorang pun sebelum ini yang berkelulusan sebegitu melepasinya.

Ketua Jabatan Sains Kemanusiaan dan Ilmu Wahyu, Madam Nursiah, merupakan individu penting dalam kisah ini yang mana beliaulah yang menemuduga aku ketika itu. Disebabkan aku tidak menepati kelayakan yang dikehendaki (kelemahan Bahasa Inggeris) untuk masuk dalam jurusan tersebut. beliau menasihati supaya tidak meneruskan hasrat aku itu dengan alasan ramai pelajar telah gagal walaupun mereka cemerlang dalam penguasaan Bahasa Inggeris. 

Namun aku tidak berputus asa dan meyakinkan beliau bahawa penguasaan bahasa tanpa minat dan usaha tidak ke mana, dan kemahiran bahasa Inggeris juga tidak menjamin kejayaan seseorang. Aku minta diberi peluang membuktikan kemampuan aku dalam jurusan berkenaan. Rayuan aku itu kerana betapa aku ingin mempelajari pengajian Sains Politik, untuk mengetahui situasi politik semasa yang tidak stabil ketika itu dan memberi sumbangan yang sepatutnya kepada negara, bangsa dan agama insyaAllah..

Semester berikutnya tiba. Alhamdulillah, aku lulus temuduga tersebut dan dikehendaki menduduki ujian bertulis sebagai ujian kelayakan sebelum aku diterima secara rasmi meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Kemanusiaan. Alhamdulillah Allah permudahkan jua.. Maka semester tersebut secara rasminya aku bergelar pelajar Sains Kemanusiaan. 

Kini cabaran seterusnya bermula. Aku harus menghadiri kelas-kelas Bahasa Inggeris mengikut tahap yang ditentukan. Dengan usaha, doa dan tawakal akhirnya aku berjaya melepasi setiap tahap tersebut dan berjaya membuktikan kemampuan aku seperti yang dijanjikan kepada Madam Nursiah sewaktu temuduga dahulu dan berjaya mengatasi pelajar lain yang cemerlang penguasaan Bahasa Inggerisnya. 

Dan kenangan manisnya juga aku menjadi pelajar terbaik beliau, bahkan pelajar terbaik setiap pensyarah yang mengajar aku sepanjang berada di institusi berkenaan, alhamdulillah... Setelah dua tahun menuntut maka tamatlah pengajian aku di sana dan kini aku meneruskan perjuangan di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di gombak.

Hebatnya nama universiti itu, maka aku harus seiring dengannya. Bukan hanya menumpang, tetapi peneraju untuk suatu kejayaan daripada jenis-jenis kejayaan yang lain. Bukan hanya berkadar-kadar tetapi mencabar diri untuk berada dalam kelompok yang disegani..

Semester demi semester telah aku harungi. Pelbagai ranjau dan kesusahan telah aku tempuh. Di uji dengan kewangan, terpaksa menjual laptop ketika di tahun satu. Aku hanya bergantung kepada komputer di lab. Keadaan masa yang terhad di lab iaitu tepat jam 11 malam lab ditutup maka pulanglah aku ke asrama. 

Jika pelajar lain mungkin masa2 seperti itu mereka menyambung kerja-kerja mereka di asrama seperti menyiapkan kajian, menaip assignment dan perkara-perkara lain. Tetapi aku tiada kemudahan begitu. Mungkin itu hikmahnya dan aku dapat gunakan  masa itu untuk mengulangkaji pelajaran, dan oleh itu juga aku dapat menikmati nikmat waktu rehat pada waktu malam dengan tidur awal.

Genap tiga tahun dalam pengajian di Taman ilmu dan Budi maka tiba masanya aku bergraduasi. Bukan hanya seperti melepaskan batok di tangga. Memperoleh anugerah Naib Canselor adalah suatu kepuasan bagi aku. Alhamdulillah semuanya daripada Allah, nikmat yang dikurniakan setimpal dengan usaha dan pengorbanan hambaNya..

Alhamdulillah kini aku diberi peluang untuk berkhidmat di institusi di mana kisah itu bermula, iaitu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebagai salah seorang tenaga pengajar di situ. Kini giliran aku pula mencurahkan ilmu yang aku peroleh dahulu kepada adik-adik yang kelihatan begitu berkobar-kobar jiwanya. Moga hebatnya nama insitusi ini terus didokong dan diterajui oleh mereka, dan bukanlah sekadar menumpang padanya sahaja.. InsyaAllah~

-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-

Walau bagaimanapun, secara peribadi, diri ini harus terus bergerak. Mungkin harus berkhidmat di tempat lain barangkali....? Wallahua'lam.. Kita merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya perancangan Allah itu lebih teliti. 

Ingatlah bahawa menuntut ilmu itu harus tahu tujuannya. Bukanlah utk memperoleh pekerjaan yang baik, gaji yang tinggi, dipandang mulia oleh masyarakat, juga memuaskan manusia. Tetapi sedarlah bahawa menuntut ilmu itu suatu kewajipan, ianya suatu ibadah dan yang paling penting untuk mendapat keredhaan Allah dan menjadi hamba yang patuh dan bertaqwa.. Wallahua'lam~



No comments:

Post a Comment