Tuesday, November 19, 2013

:::Mari Menjadi Hamba:::

Hidup ini selain untuk beribadah kepada Allah, menjadi khalifah di muka bumi serta menjadi hambaNya, ia juga adalah suatu medan ujian yang perlu dilalui demi menuju Ilahi..

Tidak kira siapa pun samada aku, engkau, dia mahupun mereka... Yang kecil, besar, tua ataupun muda. Lelaki dan wanita. Islam, Yahudi juga Nasrani. Selagi bergelar seorang manusia maka engkau pasti diuji. Ia bertujuan menujukkan bahawa engkau adalah makhluk yang lemah lagi hina, tidak terdaya kepada suatu pun melainkan dengan izinNya. Lemahnya engkau, berertinya hebatnya yang Maha Berkuasa. 

Lebih-lebih lagi engkau yang mengaku Islam, malah BERIMAN. Lalu Allah berfirman dalam surah al-Ankabut, ayat 2-3 yang bermaksud: 

"Apakah manusia mengira mereka dibiarkan mengatakan; 'kami telah beriman', sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar-benar Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta."



Maka selayaknya engkau diuji menurut apa yang engkau ucapkan. Tetapi Allah itu Maha adil, Pengasih lagi Penyayang, lalu Dia berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang berbunyi "La yukallifullahu nafsan illa wus'aha..",  yang bermaksud:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.."



Jelaslah betapa Sang Pencipta itu lebih memahami akan perihal makhluk ciptaanNya dan Dia lebih mengetahui tahap daya upaya engkau dalam mengharungi ujian serta mehna itu. Kasihnya Allah dengan menimpakan sesuatu berdasarkan kemampuan diri, semata-mata supaya engkau ingat dan kembali kepadaNya.

Rakan-rakan sekalian, ketahuilah walau semua manusia itu diuji tetapi keistimewaan kepada mereka yang beriman adalah sifat sabar. Islam, Yahudi dan Nasrani semuanya diuji atas ujian yang tersendiri. Mukmin itu berbeza dengan yang lainnya melalui kesabaran atas ujian dan dugaan tuhannya.

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)



Kenapa kita perlu bersabar dengan ujian tersebut? Setiap yang Allah jadikan itu punya hikmahnya tersendiri. Menerusi akal dan fikiran yang waras, jawapan bersama engkau. Kesabaran itu untuk mendidik engkau menjadi orang yang bersyukur. Bersyukur dengan nikmat yang sedia ada mahupun yang akan datang. 

Setelah ditimpa dugaan seorang mukmin itu akan sedar bahawa selama ini dia dilimpahi dengan pelbagai jenis nikmat, maka dengan itu dia mula belajar bersyukur. Lalu dapatlah dia harungi dugaan dengan tabah dan sabar hinggalah kemenangan menjadi miliknya. Syukur yang berterusan hingga terbit keikhlasan dalam tindakan juga amalannya. 

Dan dengan kesabaran itu juga sebagai tanda dan membuka peluang supaya iman dapat naik satu tingkat daripada sebelumnya, InsyaAllah.. Begitulah untungnya orang-orang beriman yang sentiasa teguh hatinya dengan kesabaran.

Jika tiada sabar dalam mengharungi ujian, maka syukur itu pasti tidak wujud. Tanpa syukur hilanglah keikhlasan dalam ibadah. Maka tiadalah bezanya antara engkau dengan Yahudi dan Nasrani.. Nauzubillahi min zalik.

Jadi ini adalah peringatan juga nasihat untuk engkau yang bergelar Muslim dan Mukmin. Bersabarlah atas ujian. Jadilah hamba yang bersyukur, refleksi dengan amalan. 

Dengan usaha yang merupakan mujahadah melalui jalan yang Allah redha, berkat doa yang menjadi senjata Muslim, dan tawakal sebagai bukti pergantungan harap yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul 'Alamin.. Moga Allah redha, insyaAllah Dia permudahkan.. Allahumma Ameen~








No comments:

Post a Comment