Tuesday, November 12, 2013

:::Kembara Hamba: Lompat Si Katak Lompat:::

Sesungguhnya setiap manusia itu telah ditetapkan kepadanya oleh Allah rezeki yang tidak ketahui. 

Alhamdulillah belum pun tiba hari Konvokesyen UIAM pada 10 Oktober 2012, aku telah menerima surat tawaran kerja di sebuah institusi kewangan iaitu CIMB Bank Berhad yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Selesai sahaja istiadat Konvokesyen maka aku pun melaporkan diri di sana dan mula berkhidmat sebagai Exsekutif di bahagian latihan pejabat berkenaan. Akan tetapi telah tercatat di sana tempat aku cuma seketika. Dalam masa kurang daripada tiga bulan macam-macam kerenah dan masalah yang timbul baik dari kalangan pekerja, sistem dan juga hal kebajikan. Boleh dikatakan ianya merupakan hal-hal dalaman syarikat sebab tu orang awam tidak sedar akan kepincangan yang berlaku sesama kami.

Mungkin bagi mereka yang telah lama bekerja boleh menyesuaikan diri dengan hal-hal yang demikian. Tetapi sebaliknya bagi golongan seperti aku yang baru tamat pengajian yang belum ada pengalaman dan belum terbiasa dengan suasana seperti itu. Terdetik di hati untuk berhenti dan mencari pekerjaan lain.

Alhamdulillah, Allah itu Maha mendengar lagi Maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya. Maka dalam tempoh tiga bulan terakhir tu aku mendapat tawaran kerja di sebuah institusi kewangan yang lain iaitu di Easy RHB Bank Berhad yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Dan berlakulah lompatan pertama aku dengan jawatan yang ditawarkan sebagai "Assistant Outlet Manager" di branch berkenaan dan alhamdulillah gaji yang ditawarkan juga lebih tinggi berbanding sebelumnya..

Tiada masalah besar yang aku hadapi di RHB. Mungkin sebab aku sudah mula membiasakan diri dengan suasana kerja di bank atau mungkin kerana benar-benar tiada masalah besar seperti di CIMB bank, wallahua'lam..

Namun begitu setelah genap enam bulan bekerja maka siri lompatan seterusnya pula berlaku bilamana aku ditawarkan berkhidmat di Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya, sebagai pensyarah bagi matapelajaran Sains Politik. Peluang yang sudah pasti lebih baik buat masa ini dan tawaran gaji yang lebih lumayan menyebabkan aku berkobar-kobar untuk memulakan perkhidmatan di Pusat Asasi UIAM.

Tanggal 3 Jun 2013 aku pun memulakan tugas aku sebagai pensyarah di sana dan pengalaman menjadi pendidik membuatkan aku begitu teruja, selain memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Walaupun bidang akademik bukanlah minat aku yang sebenar, tetapi aku seronok dengan pekerjaan aku sekarang. Mungkin ini adalah pengalaman yang mengujakan sebelum aku melompat ke tempat lain yang benar-benar memberi kepuasan dan mencapai hasrat serta cita-cita besar aku, insyaAllah..

Begitulah cerita lompat-melompat aku dalam kerjaya buat setakat ini. Tak salah sebenarnya asalkan kita punyai prinsip dan tidak menjual harga diri. Bagi aku dalam tempoh lima tahun pertama selepas bergraduasi adalah merupakan tempoh percubaan dan menimba pengalaman serta belajar erti kehidupan yang sebenar. Pada waktu inilah kita menempuh segala mehnah kehidupan yang tidak sempat kita tempuh semasa berada di kampus, dan mengajar diri kita menjadi matang lebih-lebih lagi dalam memimpin diri dan membuat keputusan. 

Tetapi tidak dinafikan juga. Ada orang yang cepat memperoleh kerjaya yang sesuai dan diidamkannya. Jadi mereka ini sudah tentu akan kekal lebih lama bersama organisasi yang mereka sertai.

Justeru bagi diri ini, perjalanan aku masih panjang. Banyak lagi yang aku harus belajar selain masih mengejar impian yang tinggi menggunung. Prinsip yang menjadi pegangan dalam situasi begini ialah sentiasa berusaha, berdoa serta bertawakal kepada Allah. InsyaAllah di mana ada kemahuan di situ Allah tunjukkan jalannya.. Ameen mudah-mudahan~     ^_^

Maghrib dulu yaw.. 


To be continued.....




1 comment:

  1. Assalamualaikum saudara,
    terima kasih kerana berkongsi post yang bermanfaaat. Jika tak menyusahkan bolehkah saudara berkongsi pengalaman tentang temuduga akhir bersama rektor sebelum disahkan dengan jawatan? Saya akan menghadiri temuduga tu 3 hari lagi. Thank you.

    ReplyDelete