Saturday, October 13, 2012

:::Dunia Baru:::

Alhamdulillah tamat juga pengajian di peringkat ijazah pertama ataupun Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusian dalam bidang Sains Politik. Alhamdulillah, kejayaan menamatkan pengajian ini lebih bermakna dengan saya berjaya memperoleh tahap Kepujian (Honours) dengan CGPA 3.53 sekaligus melayakkan saya mendapat anugerah Rector ataupun dalam penggunaan istilah lainnya adalah anugerah Naib Canselor, dan ia merupakan hadiah sempena hari lahir saya yang ke-24 yang berlangsung 2 hari sebelum majlis konvokesyen UIAM pada 7 Oktober yang lalu. 



 Bersama umi & Buyah yang tersayang


Bersama seorang rakan yang sangat hebat! 
Sekarang beliau salah seorang eksekutif di Petronas. Menjadi sumber inspirasi.. =D


Bersama ahli keluarga.. =)

Anugerah ini bukanlah berdasarkan pencapaian akademik saya semata-mata tetapi berdasarkan kepada penglibatan kokurikulum saya di peringkat kebangsaan juga. Syukur sangat-sangat.. =)

Kini saya berhadapan dengan dunia sebenar, dunia yang perlu saya lalui secara bersendirian dengan bantuan yang paling minimum daripada orang sekeliling. Cabaran semasa belajar dahulu lain dan ia berbeza dengan cabaran selepas belajar. 

Pelbagai tekanan  yang dihadapi seperti tekanan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan sesuai dengan diri, tekanan dengan rakan2 sebaya dan tekanan dalam melalui fasa hidup iaitu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan selepas tamat pengajian. Gaya hidup memang betul2 berbeza. Jika tidak kuat dalaman dan luaran, tekanan2 begini boleh menyebabkan kita hilang semangat dan silap hari bulan kena masalah mental, nauzubillah....
Sumber: Google image


Cabaran bagi mendapatkan pekerjaan adalah cabaran utama setelah tamat pengajian. Alhamdulillah setelah sebulan saya menganggur saya telah mendapat panggilan menghadiri temuduga di CIMB Bukit Damansara dengan jawatan sebagai Training Executive. Seminggu selepas temuduga tersebut saya mendapat panggilan  telefon mengatakan saya telah lulus temuduga dan mereka meminta saya supaya melapor diri secepat mungkin. 

Alhamdulillah syukur dengan rezeki yang melimpah ruah, daripada saat graduasi, anugerah yang diperolehi, ulangtahun hari kelahiran serta tawaran pekerjaan. Perasaan seronok dan berdebar mula menyelubungi diri. Manakan tidak, ini merupakan pekerjaan pertama saya selepas bergelar graduan, dan secara jujurnya pekerjaan tersebut tiada kena mengena dengan bidang yang saya pelajari semasa di universiti dahulu. Malah bidang kerjanya juga saya tidak tahu lagi.

InsyaAllah pada hari Isnin nanti iaitu 15 Oktober 2012 saya akan melaporkan diri di pejabat CIMB Bukit Damansara sekaligus memulakan hari pertama bekerja. Saya kerap kali memikirkan samada pekerjaan ini sesuai dnegan saya ataupun tidak. Jauh di sudut hati masih mengharap dan menantikan suatu yang lebih baik dan pekerjaan yang lebih stabil seperti jawatan dalam kerajaan terutama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) M41. Tapi jika tidak dapat menjadi PTD pun tidak mengapa, sekurang-kurangnya dapat menjadi pegawai kerajaan pun saya dah bersyukur kerana bekerja dalam kerajaan ini peluangnya lebih cerah dan mempunyai kebaikan utk jangka panjang.

Walau bagaimanapun sebelum mendapat tawaran daripada mana2 jabatan kerajaan saya sepatutnya tidak mengabaikan kerja yang saya peroleh sekarang. Saya tidak patut membuat alasan untuk tidak komited dan tidak bekerja bersungguh-sungguh. Di mana pun kita berada kita perlu menjadi diri kita dan bekerja sebaik mungkin. Sekurang-kurangnya sebagai bekalan pengalaman yang berguna jika ditawarkan dalam pekerjaan lain. Yang penting sentiasa optimis dan tidak lupa berdoa kepada Allah.. =)

Bagaimana pula soal kahwin? haha.. Perkara ini yang paling mengusutkan fikiran saya sejak bertahun-tahun lamanya hinggalah sekarang. Niat di hati ingin mendapat pahala berkahwin pada usia muda. Banyak sebabnya kenapa mereka yang faham agama ingin berkahwin di usia muda selain ingin mendapat pahala berkahwin di usia muda. Antaranya ialah ianya dapat melegakan tekanan diri kerana jiwa orang bujang ini sentiasa meronta lebih2 lagi jika hubungan itu berlandaskan syariat. Ia tidak seperti hubungan kapel yang lain yang menyebabkan pasangan tersebut bebas berjumpa, bebas meluahkan kasih sayang. Untuk berlaku adil maka Islam menggalakkan perkahwinan di usia muda secara tidak langsung dapat menghindarkan maksiat dan penyakit hati yang melalaikan manusia. 

Tapi itu mungkin hanya tinggal angan2 sahaja.  Ada sahaja halangannya hinggakan saya penat nak memikirkan tentang perkara ini. Mungkin ada hikmah di sebalik ni semua. Jadi saya ambil keputusan untuk memberi tumpuan pada kerjaya, bagi kesenangan dan keselesaan pada diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. 













Sumber: Google Image


Saya dah tak kisah nak berkahwin bila2 pun. Ada jodoh adalah.. Memang seronok tengok seorang demi seorang kawan2 lain yang melangsungkan perkahwinan. Saya hanya menumpang gembira dan mendoakan kebahagian mereka.  Nak kata belum habis belajar, sesungguhnya saya sudah rasmi tamat pengajian. Jika nak kata tiada pekerjaan, saya juga sudah mempunyai pekerjaan. Nak kata tidak mampu, insyaAllah dengan gaji lulusan ijazah saya ini saya sudah mampu untuk berkahwin. Rakan2 saya semasa belajar di universiti dahulu yang belum bekerja pun mampu untuk berkahwin inikan pula jika sudah mempunyai pendapatan. 

Jika isunya adalah supaya membantu keluarga dahulu, pada pendapat, saya sebagai seorang anak lelaki sulung memang sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu keluarga dari sebelum saya berkahwin hinggalah selepas berkahwin. Memang sudah menjadi tanggungjawab anak lelaki terutama lelaki sulung untuk melakukan perkara yang demikian. Apa yang saya boleh katakan ialah mungkin belum sampai seru lagi untuk saya berkahwin ataupun ianya mengenai teka-teki jodoh yang sememangnya menjadi rahsia dan diluar jangkauan ilmu manusia.

Ini serba sedikit kisah "Dunia Baru" saya untuk setakat ini. Jika ada masa dan cerita menarik selepas ini saya akan sambung lagi.. Wallahua'alam~

Siru 'ala barakatillah..


Alhamdulillah! =D


Saturday, August 4, 2012

:::Pencak Silat UIAM Dalam Memori:::

Pada tanggal 29 Julai 2012 merupakan satu tarikh yang akan diingati kerana pada tarikh itu saya secara rasminya melepaskan jawatan sebagai kapten pasukan Pencak Silat UIAM setelah selama satu penggal (setahun) diamanahkan untuk memimpin pasukan itu. 

Alhamdulillah banyak kenangan, pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang berada dalam pasukan pencak silat UIAM terutama sebagai ketua pasukan, lebih2 lagi kenangan sewaktu di penghujung tempoh iaitu membawa pasukan ke kejohanan MASUM Fasa II di UTHM Johor pada 13-19 Julai 2012 yang lepas. 

Dalam kejohanan MASUM tersebut pasukan Pencak Silat UIAM telah berjaya memenangi 2 pingat emas, 1 pingat perak dan 2 pingat gangsa sekaligus menjadikan satu-satunya pasukan yang menyumbang pingat terbanyak kepada UIAM dalam kejohanan MASUM 2012 dan lebih bermakna lagi kami telah berjaya membuka mata pihak pusat sukan UIAM kerana berjaya menyumbang pingat emas yang mana pada ketika itu prestasi pasukan lain seperti rugby, badminton, bola keranjang, dan lain2 semuanya agak merudum. Ini menjadikan UIAM hanya mampu mengumpul 3 pingat emas sahaja iaitu 2 pingat emas itu disumbangkan dari pasukan Pencak Silat UIAM. 

Inilah serba sedikit kenangan manis ketika memimpin pasukan Pencak Silat UIAM. Saat melepaskan jawatan dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada seorang rakan saya yang paling rapat (Sodiqin Masengat), hati terasa begitu sayangkan pasukan ini, sayangkan ahli2nya kerana keakraban kami sudah seperti sebuah keluarga besar kerana segala susah dan senang bukan sahaja dikongsi, malah telah kami laluinya bersama. 

Pertikaian, berselisih pendapat menjadi asam garam yang mengeratkan lagi tali ukhwah sesama kami. Tapi sudah tiba masanya untuk melepaskan mereka untuk bergerak di bawah pimpinan yang baru yg mana akan menjadikan pasukan ini lebih maju dan disegani, insyaAllah.. =)

3 Ogos 2012
Ingatkan setelah melepaskan jawatan maka segalanya sudah berakhir. Peranan sebagai ketua pasukan dan segala apa yang telah disumbangkan tidak pernah diharapkan dengan apa2 balasan. Tapi pada tarikh ini suatu yang mengharukan berlaku. Kami mengadakan iftar kecil-kecilan di kafe KAED (Kuliyyah of Architecture and Environmental Design) iaitu iftar kali kedua selepas majlis iftar dan majlis perletakan jawatan saya sebagai ketua pasukan, yang mana majlis iftar kali kedua ini dirancang oleh ketua pasukan baru bersama ahli2nya. Pada mulanya saya fikir iftar ini adalah biasa2 sahaja. Rupa2nya ianya telah dirancang hingga menjadi 1 majlis penghargaan kepada saya sebagai ketua pasukan sebelum ini. 

Apa yang membuatkan hati saya betul2 terharu adalah ketika mendapat 1 bungkusan hadiah yang tak pernah saya bayang dan harapkan daripada ahli pasukan. Ianya adalah sepasang kasut sukan berjenama NIKE bagi menggantikan kasut sukan saya yang sedia ada iaitu kasut sukan yang saya telah gunakan selama 2 tahun dan sudah secara jelas kelihatan kerosakan pada kasut tersebut. 

Rupa-rupanya mereka pun menyedari keadaan kasut sukan saya yang begitu uzur dan sepatutnya tidak digunakan lagi dan perlu digantikan dengan yang baru. Memang sudah lama nak beli sendiri cuma disebabkan masalah kewangan maka ditangguhkan dulu niat tersebut dan gunakan wang untuk perkara yang lebih berhak.

Mungkin bagi orang lain hadiah seumpama ini adalah biasa. Tetapi bagi saya ianya terlalu berharga kerana pemberian itu membawa maksud yang mendalam. Ia sebagai harapan menggunung dan sebagai tanda supaya pasukan ini sentiasa diingati.

Terima kasih kepada ketua pasukan yang baru, terima kasih kepada rakan2 semua. 

Persahabatan itu berlaku bilamana terdapat kerelaan pada kita untuk saling berkongsi suka dan duka bersama. Tapi pengalaman ini bukanlah sekadar persahabatan, malah lebih dari itu. Inilah yg dikatakan sebagai sebuah keluarga kerana kita bukan sahaja sekadar berkongsi suka duka, tetapi kita telah pun melaluinya bersama..

Dalam keluarga ini juga tidak terjalin persefahaman antara 2 pihak semata-mata, tetapi persefahaman yg wujud itu merangkumi setiap individu yg berada dalam keluarga besar ini.

Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula sesama manusia. Pertikaian mahupun perbezaan pendapat yg ada selama ini merupakan rahmat untuk mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kita, maka hadapilah dengan hati yg terbuka.

Siapa pun kita sekarang dan masa hadapan jangan dilupakan keluarga ini yg sedikit sebanyak mengajar kita tentang "itu dan ini".

LOVE u guys!


 Gambar Kiri: Keadaan kasut sukan saya yang telah uzur.
Gambar kanan: Kasut sukan baru yang dihadiahkan oleh ahli pasukan saya. =')




 Hadiah-hadiah yang diberikan kepada saya: Kasut sukan NIKE, Keychain Adidas, dan Kad Ucapan yang ditandatangan oleh ahli beserta kata2 semangat dari mereka.. =)




Penyerahan hadiah dilakukan oleh kapten baru yang juga kawan rapat saya dalam pasukan 
(Sodiqin Masengat)
Masa ni saya dah basah kuyup sebab kena prang dengan belon air. Memang tak jangka yang mereka nak buat kejutan macam ni..huhu..




Mengimbau kenangan ketika sesi latihan sebelum ke MASUM 2012


 Mendengar amanat dari coach


 Sesi terapi di Hulu Yam





Kejayaan di MASUM 2012



Medalists UIAM (Pencak Silat) 


 Kontinjen Pencak Silat (No Pain No Gain!)



Perlawanan Peringkat Akhir (Bertemu Tuan Rumah UTHM)







Pencak Silat Team Grand Iftar


29 Julai 2012: Grand Iftar dan majlis perletakan jawatan dan penyerahan kuasa kepada kapten pasukan yang baru.. =)





Sunday, March 18, 2012

:::Warkah Cinta Dari Ilahi:::

Tidak seperti hari-hari lain, hari itu aku agak sedih.  Fikiran bercampur. Tertekan dengan hal kesihatan, soal belajar kerana pergerakan terbatas dan sukar untuk pergi ke perpustakaan dan lab. Tidak ketinggalan juga dalam soal hubungan.

Semuanya seolah-olah menjadi penyebab kepada mainan perasaan aku. Aku cuba membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang jauh lebih hebat, secara totalnya aku jauh ketinggalan di belakang mereka. Dari sudut hubungan sesama manusia, sudut ibadat dan kehambaan dan juga sudut2 yang lain, aku berasa aku begitu lemah. Maka hari itu seakan suram kerana terasa diri tidak mampu menghadapi cabaran dunia yang mendatang.

Lalu pada hari itu aku mendirikan solat 2 rakaat, mengadu pada Allah dan aku ulangi solat 2 rakaat itu setiap kali aku berasa lemah. Memang menjadi lumrah manusia, bila susah baru teringatkan Tuhannya. Tidak terlepas juga aku. Waktu senang jarang sekali "berkomunikasi" denganNya.

Selesai solat aku mengambil kitab suci al-Quran dan membacanya. Baris demi baris, ayat demi ayat aku baca dengan tartil. Hinggalah pada hari itu setelah selesai solat maghrib dan seperti biasa aku melakukan zikir munajat dan menyambung semula bacaan al-Quran demi mencari jawapan dan meminta petunjuk dariNya.

Sedang kusyuk membaca aku terhenti pada sebahagian ayat. Ayat yang berlainan pada setiap surah. Aku yakin Allah menunjukkan sesuatu pada aku.

Hati aku tersentuh disaat Dia membalas pertanyaan ku sebagai bukti cintaNya sebagai maha Pencinta. Ya, aku adalah hambaNya dan hanya perlu bergantung harap padaNya. Dia sentiasa membuka pintu-pintu taubat untuk hamba2Nya.

Tanpa aku sedar air mata telah pun bercucuran jatuh, menitis di atas "surat cinta" dari yang maha Agong itu, hingga kelabu jadinya dan tidak ternampak tulisan pada helaiannya disebabkan air mata yang memenuhi kelopak.

Selesai membaca aku merenung kitab suci itu sambil mengusapnya lembut. Dengan hati yang sayu aku bukanya kembali seolah-olah seorang kekasih yang sedang angau dek cinta, mendapat surat cinta daripada pasangannya dan membaca surat itu berulang kali. Tetapi ini cinta yang sejati antara Tuhan dan hambaNya. Cinta yang perlu diletakkan pada darjat yang tertinggi. Aku membuka pada halaman surah al-'Alaq dan ayatnya ku baca. Bermula dengan bacaan "iqra'", berguguran kembali air mata  aku yang mula kering dan terketar-ketar seluruh anggora badan kerana terasa hebatnya kuasa Allah yang menurunkan wahyu pertama itu kepada junjungan mulia kekasih ku Muhammad SAW. Tidak mampu rasanya untuk meneruskan bacaan kerana esakan seolah-olah menghukum diri yang selama ini penuh dengan kotoran dosa.

Ia kemudian seperti aku mendapat kekuatan dengan membaca ayat cinta pertama Tuhan kepada hambaNya yang bernama Muhammad SAW itu. Aku kagum dengan apa yang Dia kurniakan. Itulah jawapan cinta pertama oleh Allah kepada hambaNya. Sambil aku terkenangkan kepayahan dan pengorbanan Baginda SAW dalam menyebarkan "cinta" ini, aku sekali lagi berasa suatu kuasa yang memberi kekuatan pada diri aku. Mungkin pada ayat dan surah yang sama dapat memberi makna dan jawapan yang berbeza kepada setiap orang. Ia mengikut kepada apa yang diniatkan, wallahua'alam.

Untuk bahagia kita tidak perlu mengharapkan orang lain untuk membahagiakan kita. Hanya Allah sahaja yang mampu melakukannya.

Alhamdulillah, setelah beberapa kali aku mengadu kepadaNya, pada hari itu Dia berbicara melalui warkah cinta yang sememangnya menjadi pengubat hati dikala duka..

Thursday, March 1, 2012

:::Peranan Kita Bersama:::

Ada seorang rakan menceritakan masalah peribadi dia kepada ana. Ianya berkenaan dengan konflit yang dia alami bersama tunangnya.

Di awal waktu perkenalan mereka begitu bahagia, tidak banyak perkara yang tidak disepakati. Akan tetapi setelah beberapa bulan bertunang dan saat hari pernikahan hampir tiba, hubungan mereka seolah-olah renggang. Ada sahaja perkara yang hendak bangkitkan. Ada sahaja yang tidak puas hati oleh kedua-duanya hinggakan dia terasa semakin jauh dengan tunangnya hingga menyebabkan mereka jarang berhubung berbanding dulu.

Ana memberi respon.. Kita perlu pandang musibah yang berlaku dari dimensi atau sudut pandang yang lain. Jika suatu masalah itu datang dan kita memandangnya sebagai benar2 masalah maka ia menjadi beban kepada diri kita yang akhirnya menjadikan kita buntu daripada menyelesaikannya.

Jadi dengan memandang sesuatu itu dari sudut yang lain akan membuatkan kita lebih terbuka, kreatif dan berfikiran jauh serta tidak mudah menyerah kalah kerana setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya.

Sebagai contoh; terdapat 2 orang lelaki A & B yang memandang sekeping duit syiling 50sen. Lelaki A memandang sebahagian duit syiling tersebut dan hanya akan mampu melihat satu permukaannya sahaja iaitu ukiran nombor "50", beserta tahun pengeluarannya dan juga ukiran "bunga raya". Manakala lelaki B pula melihat ke atas sebahagian yang satu lagi maka akan kelihatanlah ukiran "Wau".

Jadi atas sebab lelaki A hanya melihat pada satu sudut pandang sahaja, maka dia tidak akan mempercayai apa yang disampaikan oleh lelaki B bahawa terdapat ukiran lain di belakang duit syiling tersebut, dan begitu jugalah yang berlaku kepada lelaki B. Masing2 ingin menegakkan pendapat mereka dan menafikan kewujudan maklumat yang lain kerana mereka tidak mahu memandang dari sudut yang lain.

Jika dilihat secara keseluruhannya, walaupun ia mempunyai 2 permukaan yang berbeza tetapi sebenarnya ia tetap berada pada 1 benda yang tidak dapat dipisahkan, iaitu sekeping duit syiling 50sen.

Ana beritahu dia bahawa ini adalah untuk dia lebih mengenali bakal isterinya nanti. Soal perkahwinan bukanlah perkara main2. Kita ingin mendirikan sebuah masjid yang padanya pahala dan sepanjang itu kita akan dapat menghasilkan pahala juga. Jika sebelum ini mereka kerap berhubung yang mana sudah pasti tidak terlepas daripada perkara2 lagha dan maksiat, jadi inilah masanya untuk mereka bermuhasabah dan perbetulkan kembali kerosakan yang mereka lakukan supaya hubungan mereka diredhai dan perkahwinan mereka nanti berada dalam keberkatan.

Kemudian soal toleransi. Sebagai seorang lelaki memang tidak dapat lari daripada ego. Tapi keegoan tersebut tidak semstinya menjadikan seorang lelaki untuk tidak bersikap toleransi terutama terhadap isterinya nanti. Toleransi itu perlu, dan itu bukan dayus! Dayus ialah bilamana suami membiarkan isterinya melakukan kemungkaran tanpa dia menegur, malah membiarkan sahaja.

Kepada wanita pula, jika pasangan anda bersikap toleransi, itu bermaksud dia mempercayai dan menyokong anda. Jadi jangan sesekali hilangkan keyakinan dia kepada anda. Jika pasangan anda menegur sesuatu yang baik, tidak salah untuk anda ikut. Anda perlu bersedia untuk berubah selagi mana ianya tidak menyalahi syarak. Adakah anda mementingkan kepuasan hati anda sendiri berbanding keharmonian rumah tangga walaupun dasar perselisihan adalah suatu yang boleh diubah.

Lelaki memang mempunyai sifat cemburu yang tinggi. Jadi pastikan ia sentiasa dalam keadaan terkawal supaya kita dapat bertindak di bawah rasional dan menjadi professional. Selain itu bukan wanita sahaja yang perlukan perhatian yang tinggi daripada suami, tapi suami juga memerlukan perhatian yang tinggi daripada isteri, hinggakan si suami itu akan bertindak seperti anak kecil yang inginkan perhatian isterinya. Sebab itu jika kita lihat rumah tangga yang bergolak kebanyakannya kerana perhatian yang kurang diberikan oleh kedua-dua pasangan yang akhirnya membawa kepada ketidak sefahaman, nauzubillah...

Jadi perancangan awal sebelum mendirikan rumah tangga adalah penting. Selain itu sentiasa bersikap positif dan bersedia menerima pandangan dan nasihat daripada pasangan. Jadilah suami yang baik yang dapat memimpin isteri dan anak2 ke jalanNya. Dan isteri pula perlulah bersedia menjadi sayap kiri yang solehah, taat kepada suami, bukan memeningkan kepala suami,huhu.. Wallahua'lam~

Tuesday, January 24, 2012

Ogos atau Januari?

Tarikh yang tepat untuk ana abis pengajian dan menjadi graduan UIAM masih menjadi teka-teki. Ini kerana terdapat masalah2 yang menyebabkan perancangan ana terganggu. Maklumlah, tiada satu pun perancangan manusia yang sempurna. "Manusia merancang, Allah juga merancang. Dan perancangan Allah itu lebih teliti."

Jika lihat pada "study plan", sepatutnya ana boleh tamat pengajian, insyaAllah pada bulan Ogos 2012 ini iaitu pada semester pendek untuk sesi pengajian 2011/2012. Tapi baru-baru ini ana dengar pihak pentadbiran UIAM nak memansuhkan semester pendek. Bagi ana mungkin bukan secara drastik. Barangkali ianya dilakukan berperingkat. Cuma masalahnya terdapat khabar2 angin mengatakan jabatan Sains Politik iaitu kursus bagi bidang pengajian ana akan menguatkuasakan peraturan tersebut tidak lama lagi.

Ana sendiri tidak pasti sejauh mana benarnya khabar angin tersebut. Jika ianya dikuatkuasakan maka tak dapatlah ana abiskan pengajian pada bulan Ogos ni, sebaliknya terpaksa melanjutkannya pada semester panjang yg baru iaitu bermula pada bulan September 2012 hingga Januari 2013. 

Allah...Jika beginilah jadinya lama sungguh nak tunggu.. Terpaksa buat "back up plan" sebab dah tentu akan memberi kesan terhadap perancangan2 awal ana. Nak bekerja, nak bernikah, nak itu, nak ini..bla bla bla..huhu..

Takpe lah.. Dia tahu apa yg terbaik untuk diri kita. Moga dipermudahkan perjalanan kehidupan ini. 

Cepat atau lambat, tetap akan abis nanti, insyaAllah.. 


Friday, January 20, 2012

:::Menghayati Kehidupan Beragama:::

Bismillahirrahmanirrahim.. Entry kali ini berkenaan tentang "Menghayati Kehidupan Beragama dari surah al-Kahfi menerusi teori "Iceberg" adalah ringkasan daripada kuliah online yang disampaikan oleh Ust Hasrizal Abdul Jamil. Secara ringkasnya ialah;

Surah al-Kahfi mengandungi banyak hikmah yang terdapat padanya. Salah satunya ialah ia membawa kita mengenal Allah dan supaya kehidupan kita lebih bermakna sebagai seorang muslim. Bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji, tetapi ianya lebih daripada itu.

Sebagai seorang Muslim kita perlu memandu kehidupan kita ke arah mencapai mardhatillah. Kita tidak memisahkan hal urusan dunia dengan akhirat ataupun hal agama. Setiap yang kita lakukan mestilah dalam ruang lingkup agama Islam itu sendiri.

Ini dapat mengelakkan kita daripada terjerumus kepada amalan "materialisme" yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat hari ini. Materialisme bukanlah bermaksud kita hanya mengejar harta, wang ringgit dan memandang semuanya untuk memperoleh keuntungan. Tetapi maksud materialisme itu adalah dengan memisahkan hal2 agama dengan hal2 dunia. 

Ramai antara kita hari ini hanya berinteraksi dengan Allah melalui solatnya sahaja, sesudah solat ibarat sudah terputus hubungan tersebut dan menjalani kehidupan seperti biasa. Maka kehidupan seperti ini kita boleh katakan sebagai kehidupan materialisme

Untuk mengelakkan perihal ini daripada berlaku kita mestilah melibatkan nilai Islam dan juga Allah dalam urusan seharian kita. Apa yang kita lakukan mestilah disertakan dengan niat keranaNya barulah perjalanan hidup kita terbimbing ke jalan yang lurus dan tidak terpesong daripada landasan agama.

Mungkin ramai yang menganggap memisahkan agama dengan urusan dunia termasuk di bawah kategori 'sekularisme". Benar, sekularisme juga bermaksud memisahkan urusan agama dengan urusan dunia. Tapi ianya lebih kepada memisahkan urusan politik dengan agamaSekularisme boleh dikatakan sebagai cabang kepada materialisme. Sama tapi tak serupa..

Jadi ana ringkaskan teori 'Iceberg" yang diperkenalkan oleh Ustaz Hasrizal sebagai satu kaedah supaya kita lebih dapat memahami dan menghayati kehidupan beragama dengan seperti berikut;

1. Bermula dengan mengenal pasti pegangan aqidah iaitu agama Islam kita sendiri memudahkan kita membuat hala tuju kehidupan ini. 

2. Kemudian menanamkan prinsip atau pandangan hidup supaya selari dengan tuntutan Islam.

3. Seterusnya dengan prinsip atau pandangan hidup yang jelas maka kita berusaha merealisasikannya melalui nilai yang kita letakkan terhadap sesuatu itu.

4. Melalui nilai tersebut ia membawa kepada pengamalan yg mana tindak tanduk kita sebagai refleksi daripada keseluruhan "aqidah, prinsip dan nilaian kita terhadap sesuatu itu".

Maka dengan menghayati kehidupan beragama secara tidak langsung dapat memuhasabahkan diri kita. Perbaikilah diri dan libatkan Allah dalam setiap urusan pekerjaan kita, insyaAllah ianya lebih bermakna~




Tuesday, January 17, 2012

:::Hidup Berlandaskan Syariah:::

Sebagai seorang Muslim kita perlu tahu tentang perkara yang menjadi panduan dalam kehidupan seharian kita yang memandu kita atas landasan yang betul. Dalam istilah yang tepat ianya disebut sebgai "maqasid al-syariah" yang mana padanya terdiri daripada 3 bahagian iaitu Dharuriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat.

Pada bahagian yang pertama iaitu Dharuriyyat (penting) yang mana ianya suatu yang wajib dipertahankan. Ia mengandungi persoalan tentang menjaga hak2 kemanusiaan dan juga melindungi manusia daripada kecelakaan. Jika ianya ditinggalkan atau diabaikan maka akan mengundang kepada kerosakan dalam hidup dan membawa kepada kebinasaan. 

Dalam Dharuriyyat ini ia dipecahkan pula kepada 5 perkara yang wajib dijaga dalam kehidupan manusia yang dikenali juga sebagai al-Dharuriyyat al-Khamsah, iaitu:
1) Pemeliharaan agama
2) Pemeliharaan diri
3) Pemeliharaan maruah
4) Pemeliharaan akal
5) Pemeliharaan harta 

Kelima-lima perkara ini menjadi asas kepada keharmonian dalam kehidupan manusia dan Islam menuntut supaya ianya dipelihara kerana pengabaiannya membawa kepada kebinasaan dalam kehidupan yang normal.

1. Pemeliharaan Agama
Islam menuntut kita supaya memelihara agama yang ada pada kita. Ianya dengan cara mendalami ilmu2 agama serta mengamalkannya dalam kehidupan. Selain itu juga memelihara agama bermaksud kita mempertahankan agama Islam daripada dicabuli oleh pihak asing. Kita mempertahankan negara daripada dijajah serta berusaha mendaulatkan syi'ar Islam di muka bumi ini.

2. Pemeliharaan Diri
Memelihara diri bermaksud melindungi diri kita daripada perkara2 yang merosakkan diri kita. Kita dilarang daripada terjebak dalam aktiviti yang memudaratkan diri serta kesihatan kita. Selain itu kita perlu faham tentang konsep kehidupan yang mana kehidupan ini adalah pinjaman daripada Allah. Dialah yang memberikan kehidupan kepada kita maka kita tiada hak untuk menyakiti diri sendiri, membunuh diri ataupun membunuh orang lain. 

Oleh sebab itu dalam Islam terdapat hukuman bagi orang yang melakukan pembunuhan dengan dikenakan Qisas dan bagi sesiapa yang membunuh diri pula maka adalah berdosa besar dan tempatnya adalah di neraka.

3. Pemeliharaan Maruah
Dalam Islam ianya adalah sangat penting untuk menjaga maruah diri dan orang lain. Kita perlu mengelakkan daripada melakukan perkara2 yang boleh menjatuhkan maruah sendiri dan juga tidak dibenarkan membuka aib orang lain.

Jika kita menjaga aib orang lain sudah pasti aib kita juga akan dijaga. Begitu juga kita tidak dibenarkan membuka aib sendiri sehinggakan disebut dalam 1 hadis, ana x berapa ingat tapi mafhumnya ialah jika telah melakukan sesuatu yang tidak elok maka pada keesokan harinya selepas bangun daripada tidur kita menceritakan perihal kejahatan yang dilakukan seolah-olah kita berbangga dengan perbuatan itu maka kita telah membuka aib kita sendiri, dan ianya dikira sebgai dosa besar.

Sama juga dengan menyebarkan fitnah. Menyebarkan fitnah adalah berdosa besar dan hukumnya adalah lebih dahsyat daripada membunuh. Lihatlah betapa telitinya Islam menjaga dan melindungi maruah setiap manusia, maka peliharalah ia.

4. Pemeliharaan Akal
Otak merupakan organ yang penting pada tubuh badan manusia. Pada otak terdapat akal yang membezakan manusia dengan haiwan yang menjadikan manusia itu mampu berfikir dan bertaakul tentang kebesaran Allah dan dapat memilih antara yang baik dan jahat.

Islam melarang segala aktiviti yang membawa kepada kerosakan akal seperti meminum arak dan mengambil dadah. Dalam al-Quran juga ada menyebut tentang pengharaman meminum arak dan hukuman baginya adalah hudud dengan 80 kali sebatan.

Jika seseorang itu rosak akalnya maka tidak kurang ia seperti haiwan dan akan menjerumuskan dirinya kepada perlakuan yang tidak rasional. Itulah sebabnya melindungi akal menjadi perkara yang penting dan wajib dipelihara dalam maqasid syariah ini.

5. Pemeliharaan Harta
Islam juga menganjurkan supaya kita melindungi harta. Melindungi harta yang dimaksudkan adalah dengan memastikan harta kita berpunca daripada sumber yang halal. Ia tidak datang daripada sumber yang haram ataupun yg meragukan iaitu syubhah. 

Maka dengan itu amalan-amalan seperti rasuah, mengambil riba' dan juga mencuri adalah dikira haram. Ini bertujuan untuk menjaga kesucian harta kita dan bebas daripada kekotoran yang akhirnya disebabkan harta yang kotor melahirkan generasi yang tidak bermoral.

Selain itu memelihara harta juga adalah dengan tidak menceroboh hak orang lain. Adalah menjadi kesalah jika kita mencuri ataupun merampas harta orang lain tanpa hak.


Pada bahagian kedua dalam maqasid al-syariah iaitu Hajiyyat yang mana ianya adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada manusia. Perkara ini amat digalakkan untuk dilakukan bagi mengelakkan kesulitan dalam melalui aktiviti2 harian kita. Jika ianya ditinggalkan tidak pula membawa kepada kebinasaan sistem sosial manusia, tetapi cuma membawa kepada kesusahan dan menjadi beban.

Islam itu mudah, maka dibawa kepada kita berkenaan rukhsah. Rukhsah bertujuan memudahkan manusia terutama muslim dalam beribadah dengan melonggarkan kaedah perlaksanaannya. Sebagai contoh adalah solat.
Jika seseorang itu sedang bermusafir maka rukhsah baginya untuk membuat solat jamak dan qasar.
Begitu juga dengan wuduk iaitu bila tidak terdapat air selepas puas mencari maka kita dibolehkan untuk bertayammum. 

Perlu ditegaskan bahawa Hajiyyat ini merupakan suatu pilihan bagi memudahkan urusan seharian kita. Jika ianya tidak diambil maka akan membawa kepada kesulitan dan tidak pula hingga membawa kepada kebinasaan hidup.


Perkara terakhir dalam maqasid al-syariah ialah Tahsiniyyat iaitu sesuatu yang bila dilakukan membawa kepada keadaan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Dengan melaksanakan tahsiniyyat ia membawa keselesaan dalam kehidupan kita dan jika ditinggalkan kita sekadar berasa kurang selesa dan tidak membawa kepada apa2 kesusahan dan tidak mengundang kebinasaan dalam sistem sosial manusia.

Contoh terbaik bagi tahsiniyyat adalah berkenaan dengan menjaga kebersihan. Islam menganjurkan ummatnya supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih baik pada tubuh badan, tempat tinggal mahupun tempat ibadat.
Dengan menjaga kebersihan kita dapat beribadah dan melakukan aktiviti harian dengan lebih selesa.


Inilah dia tiga tujuan syariah ataupun maqasid al-syariah yang memandu kehidupan manusia supaya lebih teratur dan sentiasa berada pada landasan yang betul. Jadi jika ditinggalkan salah satu daripadanya maka kehidupan kita akan menjadi tempang, lebih2 lagi berkenaan dengan perkara Dharuriyyat yang mengandungi perkara2 penting kehidupan yang wajib dilaksanakan bagi mengelakkan kebinasaan dalam sistem sosial manusia dan yang paling penting bakal mengundang kemurkaan Allah.. Nauzubillahi min zalik.



* Ini sekadar perkongsian daripada secebis ilmu yang diperoleh sepanjang 1 semester yang lepas. Moga mendapat manfaat dan sama2 hidup berlandaskan syariah.. Wallahua'lam~