Bismillahirrahmanirrahim.. Entry kali ini berkenaan tentang "Menghayati Kehidupan Beragama dari surah al-Kahfi menerusi teori "Iceberg" adalah ringkasan daripada kuliah online yang disampaikan oleh Ust Hasrizal Abdul Jamil. Secara ringkasnya ialah;
Surah al-Kahfi mengandungi banyak hikmah yang terdapat padanya. Salah satunya ialah ia membawa kita mengenal Allah dan supaya kehidupan kita lebih bermakna sebagai seorang muslim. Bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan haji, tetapi ianya lebih daripada itu.
Sebagai seorang Muslim kita perlu memandu kehidupan kita ke arah mencapai mardhatillah. Kita tidak memisahkan hal urusan dunia dengan akhirat ataupun hal agama. Setiap yang kita lakukan mestilah dalam ruang lingkup agama Islam itu sendiri.
Ini dapat mengelakkan kita daripada terjerumus kepada amalan "materialisme" yang semakin berleluasa di kalangan masyarakat hari ini. Materialisme bukanlah bermaksud kita hanya mengejar harta, wang ringgit dan memandang semuanya untuk memperoleh keuntungan. Tetapi maksud materialisme itu adalah dengan memisahkan hal2 agama dengan hal2 dunia.
Ramai antara kita hari ini hanya berinteraksi dengan Allah melalui solatnya sahaja, sesudah solat ibarat sudah terputus hubungan tersebut dan menjalani kehidupan seperti biasa. Maka kehidupan seperti ini kita boleh katakan sebagai kehidupan materialisme.
Untuk mengelakkan perihal ini daripada berlaku kita mestilah melibatkan nilai Islam dan juga Allah dalam urusan seharian kita. Apa yang kita lakukan mestilah disertakan dengan niat keranaNya barulah perjalanan hidup kita terbimbing ke jalan yang lurus dan tidak terpesong daripada landasan agama.
Mungkin ramai yang menganggap memisahkan agama dengan urusan dunia termasuk di bawah kategori 'sekularisme". Benar, sekularisme juga bermaksud memisahkan urusan agama dengan urusan dunia. Tapi ianya lebih kepada memisahkan urusan politik dengan agama. Sekularisme boleh dikatakan sebagai cabang kepada materialisme. Sama tapi tak serupa..
Jadi ana ringkaskan teori 'Iceberg" yang diperkenalkan oleh Ustaz Hasrizal sebagai satu kaedah supaya kita lebih dapat memahami dan menghayati kehidupan beragama dengan seperti berikut;
1. Bermula dengan mengenal pasti pegangan aqidah iaitu agama Islam kita sendiri memudahkan kita membuat hala tuju kehidupan ini.
2. Kemudian menanamkan prinsip atau pandangan hidup supaya selari dengan tuntutan Islam.
3. Seterusnya dengan prinsip atau pandangan hidup yang jelas maka kita berusaha merealisasikannya melalui nilai yang kita letakkan terhadap sesuatu itu.
4. Melalui nilai tersebut ia membawa kepada pengamalan yg mana tindak tanduk kita sebagai refleksi daripada keseluruhan "aqidah, prinsip dan nilaian kita terhadap sesuatu itu".
Maka dengan menghayati kehidupan beragama secara tidak langsung dapat memuhasabahkan diri kita. Perbaikilah diri dan libatkan Allah dalam setiap urusan pekerjaan kita, insyaAllah ianya lebih bermakna~
No comments:
Post a Comment