Tidak seperti hari-hari lain, hari itu aku agak sedih. Fikiran bercampur. Tertekan dengan hal kesihatan, soal belajar kerana pergerakan terbatas dan sukar untuk pergi ke perpustakaan dan lab. Tidak ketinggalan juga dalam soal hubungan.
Semuanya seolah-olah menjadi penyebab kepada mainan perasaan aku. Aku cuba membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang jauh lebih hebat, secara totalnya aku jauh ketinggalan di belakang mereka. Dari sudut hubungan sesama manusia, sudut ibadat dan kehambaan dan juga sudut2 yang lain, aku berasa aku begitu lemah. Maka hari itu seakan suram kerana terasa diri tidak mampu menghadapi cabaran dunia yang mendatang.
Lalu pada hari itu aku mendirikan solat 2 rakaat, mengadu pada Allah dan aku ulangi solat 2 rakaat itu setiap kali aku berasa lemah. Memang menjadi lumrah manusia, bila susah baru teringatkan Tuhannya. Tidak terlepas juga aku. Waktu senang jarang sekali "berkomunikasi" denganNya.
Selesai solat aku mengambil kitab suci al-Quran dan membacanya. Baris demi baris, ayat demi ayat aku baca dengan tartil. Hinggalah pada hari itu setelah selesai solat maghrib dan seperti biasa aku melakukan zikir munajat dan menyambung semula bacaan al-Quran demi mencari jawapan dan meminta petunjuk dariNya.
Sedang kusyuk membaca aku terhenti pada sebahagian ayat. Ayat yang berlainan pada setiap surah. Aku yakin Allah menunjukkan sesuatu pada aku.
Hati aku tersentuh disaat Dia membalas pertanyaan ku sebagai bukti cintaNya sebagai maha Pencinta. Ya, aku adalah hambaNya dan hanya perlu bergantung harap padaNya. Dia sentiasa membuka pintu-pintu taubat untuk hamba2Nya.
Tanpa aku sedar air mata telah pun bercucuran jatuh, menitis di atas "surat cinta" dari yang maha Agong itu, hingga kelabu jadinya dan tidak ternampak tulisan pada helaiannya disebabkan air mata yang memenuhi kelopak.
Selesai membaca aku merenung kitab suci itu sambil mengusapnya lembut. Dengan hati yang sayu aku bukanya kembali seolah-olah seorang kekasih yang sedang angau dek cinta, mendapat surat cinta daripada pasangannya dan membaca surat itu berulang kali. Tetapi ini cinta yang sejati antara Tuhan dan hambaNya. Cinta yang perlu diletakkan pada darjat yang tertinggi. Aku membuka pada halaman surah al-'Alaq dan ayatnya ku baca. Bermula dengan bacaan "iqra'", berguguran kembali air mata aku yang mula kering dan terketar-ketar seluruh anggora badan kerana terasa hebatnya kuasa Allah yang menurunkan wahyu pertama itu kepada junjungan mulia kekasih ku Muhammad SAW. Tidak mampu rasanya untuk meneruskan bacaan kerana esakan seolah-olah menghukum diri yang selama ini penuh dengan kotoran dosa.
Ia kemudian seperti aku mendapat kekuatan dengan membaca ayat cinta pertama Tuhan kepada hambaNya yang bernama Muhammad SAW itu. Aku kagum dengan apa yang Dia kurniakan. Itulah jawapan cinta pertama oleh Allah kepada hambaNya. Sambil aku terkenangkan kepayahan dan pengorbanan Baginda SAW dalam menyebarkan "cinta" ini, aku sekali lagi berasa suatu kuasa yang memberi kekuatan pada diri aku. Mungkin pada ayat dan surah yang sama dapat memberi makna dan jawapan yang berbeza kepada setiap orang. Ia mengikut kepada apa yang diniatkan, wallahua'alam.
Untuk bahagia kita tidak perlu mengharapkan orang lain untuk membahagiakan kita. Hanya Allah sahaja yang mampu melakukannya.
Alhamdulillah, setelah beberapa kali aku mengadu kepadaNya, pada hari itu Dia berbicara melalui warkah cinta yang sememangnya menjadi pengubat hati dikala duka..
No comments:
Post a Comment