Wednesday, May 4, 2011

:::Takutkan Bini:::

Al-kisah di sebuah negeri yang tidak diketahui namanya di mana rajanya seorang yang sangat bengis. Tetapi sungguh mengaibkan kerana raja tersebut diketahui kelemahannya yang takut kepada isterinya iaitu permaisuri di negeri tersebut. 

Setiap urusan pemerintahan diuruskan oleh si permaisuri sehinggakan hal berkaitan hobi si raja pun turut dikawal. Si raja tidak berasa bebas dan sering dimarahi oleh permaisuri walaupun baginda melakukan kesalahan kecil dan perkara ini amat memalukan dan menjatuhkan air muka baginda.

Lalu pada suatu hari tanpa pengetahuan permaisuri, si raja telah bertemu secara sulit dengan bendahara raja dan meminta bendahara mengumumkan kepada rakyat jelata bahawa raja menitahkan supaya kaum lelaki berkumpul di suatu tempat yang ntah di mana lokasinya. Betapa si raja takut akan permaisurinya kerana semuanya dilakukan secara sulit.

Maka berkumpul lah semua rakyat negeri tersebut yang lelaki demi memenuhi titah si raja di suatu tempat yang tidak diketahui oleh permaisuri. Tidak ada seorang lelaki pun yang tidak hadir pada hari itu kerana beria benar untuk mengetahui apa hajatnya si raja memanggil mereka. Maka si raja pun bertitah, "Siapakah antara kalian yang tidak takut kepada isteri silalah bergerak membentuk kumpulan di sebelah kiri beta!"

Maka semua lelaki yang hadir pada hari itu bergerak dan membentuk satu kumpulan di sebelah kiri baginda kecuali hanya seorang lelaki yang dilihat tidak bergerak dan memandang tenang ke arah si raja.

Melihat akan perihal itu si raja berasa sungguh kagum dengan lelaki tersebut, lalu diperintahkan lelaki itu untuk menghadap si raja. Sudah tiga kali si lelaki itu dipanggil untuk menghadap si raja akan tetapi lelaki tersebut masih juga tidak bergerak dari tempat asalnya untuk menghadap baginda.

Sekali lagi si raja berasa kagum dengan si lelaki tersebut dan terdetik di hati baginda, "sedangkan perintah beta tidak diendahkannya, apa ntah lagi perintah isterinya. Memang dia seorang yang berani dengan isterinya!"

Lalu si raja mencemar duli dengan pergi sendiri menghampiri si lelaki dan bertanya kepadanya; "wahai tuan hamba, apakah rahsianya tuan hamba menjadi berani dengan isteri tuan hamba? Beta benar-benar ingin mengetahuinya.."

Si lelaki pun menjawab; "Bagaimana tuanku tahu patik berani dan tidak takut dengan isteri patik? Sebenarnya patiklah yang paling takut dengan isteri patik.."

Mendengar jawapan lelaki itu si raja berasa murka seolah-olah dipermain-mainkan. Lalu dengan perasaan marah si raja bertanya kepadanya; "Bukankah beta sudah mengarahkan sesiapa yang takutkan isteri sila bergerak dan membentuk satu kumpulan di kiri beta?!"

Si lelaki menjawab; "Benar tuanku. Tetapi apakan daya, patik terlalu takut dengan isteri patik. Sebelum patik ke mari isteri patik telah berpesan supaya setibanya patik ke sini patik tidak dibenarkan untuk bergerak ke mana-mana. Itulah sebabnya patik terpaksa mengingkari perintah tuanku dan duduk diam-diam di sini."

Semua yang ada di situ diam seribu bahasa.. hehe..



No comments:

Post a Comment