Thursday, April 28, 2011

:::Majlis Khatam al-Quran:::

Alhamdulillah baru sebentar tadi telah berlangsung satu lagi majlis khatam al-Quran di rumah, sekaligus menjadikan jumlah murid yang telah khatam di sini mencapai 43 orang. Di rumah kami memang dijadikan tempat belajar mengaji dan ramai penduduk taman perumahan di sini menghantar anak-anak mereka untuk belajar mengaji. Pada awalnya ketika kami adik-beradik masih kecil hanya umi dan buyah sahaja yang menjadi guru mengajar murid-murid yang sebaya dengan kami. 

Apabila masa berlalu dan anak-anak semakin membesar dan kami pun turut membantu mengajar mengaji kepada adik-adik yang sedang meningkat umurnya. Dan murid yang berkhatam pada hari ini iaitu adik Syahir Syazani adalah antara murid yang telah berjaya dididik untuk menamatkan pengajian al-Qurannya.

Memang menjadi kebiasaan sekiranya ada pelajar yang tamat pengajiannya, mereka akan dirai dengan mengadakan majlis khatam al-Quran dengan mengikut kaedah tradisional iaitu guru akan perdengarkan bacaan dan diikuti oleh pelajar yang terbabit. Dan untuk bacaan berikutnya akan diteruskan oleh pelajar itu sendiri dan disambut dengan tasbih setiap kali tamatnya satu surah yang dibaca.

Khatam al-Quran ini diambil sempena peristiwa Nabi Muhammad SAW ingin memilih calon menantu baginda dengan meminta kepada para sahabat baginda supaya mengkhatamkan bacaan al-Quran. Maka setiap daripada sahabat baginda pun memulakan bacaan dari surah al-Baqarah, kecuali Sayyidina Ali yang memulakan bacaan daripada surah ad-Dhuha sehingga surah an-Nas. Dengan peristiwa itu nabi Muhammad SAW telah mengambil Sayyidina Ali sebagai menantu baginda untuk dikahwinkan dengan puteri baginda iaitu Fatimah. 

Akan tetapi kesahihan cerita ini tidak diketahui kerana penulis sendiri sekadar mendengarnya daripada arwah Datuk penulis iaitu Sheikh Hassan Bin Sheikh Ahmad dan juga melalui ayah penulis iaitu Yusof Bin Sheikh Hassan.

Dalam majlis khatam al-Quran ini, pelajar terbabit akan memperdengarkan bacaannya bermula daripada surah ad-Dhuha hingga surah an-Nas. Sepanjang bacaannya itu, perihal hal asas tajwid akan diberi perhatian. Ini kerana khatam al-Quran bukanlah bermaksud pelajar terbabit sudah tamat pengajiannya dan dianggap tidak perlu untuk mengaji al-Quran lagi, tetapi ianya sebenarnya sebagai permulaan bagi pelajar tersebut untuk lebih mendalami pengajian al-Quran dengan memperbaiki bacaannya dari semasa ke semasa.








Penulis duduk di sebelah ayah penulis sedang memangku anak buah pertama berusia 3 bulan.




Murid-murid kelas al-Quran 


Adik Syahir Syazani 


Menerima cenderamata daripada ayah penulis merangkap guru di kelas al-Quran.


Bismillahirrahmanirrahim...
Ya Allah, kasihanilah kami dengan berkat al-Quran, dan jadikannya sebagai pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah, ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari al-Quran, dan ajarlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi al-Quran, dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membaca pada waktu-waktu malam dan siang, dan jadikanlah al-Quran itu sebagai hujjah untuk kami, wahai tuhan sekalian alam..

Ya Allah, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran, muliakan kami dengan kemuliaan al-Quran, dan serikan kami dengan ketinggian martabat al-Quran, dan pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran, masukkanlah kami ke dalam syurga dengan syafaat al-Quran, selamatkan kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan al-Quran..
Ameeen ya Robbal 'alamin..


No comments:

Post a Comment