Nabi Muhammad SAW ketika menggali parit Khandak pernah berkata bahawa pada suatu hari nanti Constantinople akan dimiliki oleh orang Islam yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.
Mendengar kata-kata Rasullullah itu maka ramailah di antara para sahabat yang berusaha untuk membebaskan Constantinople melalui beberapa siri kempen yang dilakukan termasuklah ketika zaman pemerintahan Bani Umayyah, Abasiyyah dan juga Uthmaniah. Tetapi malangnya kesemua kempen tersebut menemui kegagalan. Salah seorang sahabat yang sudah terlalu uzur ketika itu yang bernama Abu Ayyub al-Ansari telah mengikut satu kempen peperangan untuk membebasan Constatinople, malangnya beliau telah menemui ajal di sana dan sebelum kematiannya beliau telah meminta supaya jasadnya dikebumikan di tepi tembok Constatinople tersebut. Bila ditanya mengapa beliau meminta berbuat demikian, lalu beliau menjawab bahawa beliau ingin mendengar derapan tapak kaki kuda tentera Islam yang akan menawan Constatinople pada ketika itu yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera!
Sultan Muhammad II atau dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh yang dilahirkan pada 30 Mac 1432 telah diangkat menjadi Raja menggantikan ayahanda beliau Sultan Murad II, khalifah bani Uthmaniah pada ketika itu pada usia 19 tahun. Di peringkat awalnya baginda telah dididik dengan ilmu agama yang cukup oleh gurunya iaitu Sheikh Syamsudin al-Wali. Sungguhpun baginda merupakan pewaris takhta, akan tetapi baginda telah dibiasakan dengan kehidupan yang sederhana untuk menanamkan sifat tawadhu' dalam diri baginda. Dalam ilmu peperangan pula baginda telah dilatih menunggang kuda, strategi-strategi peperangan serta dilatih menggunakan senjata.
Ketika baginda diangkat menjadi raja menggantikan ayahandanya, baginda telah bercita-cita untuk menawan dan membebaskan Constantinople daripada cengkaman Raja Byzantine yang zalim. Maka selama dua tahun baginda telah mengkaji pelan Kota Constantinople setiap malam bagi mencari titik kelemahan serta mencari jawapan bagi setiap kekalahan yang dialami oleh tentera Islam sebelum ini.
Antara usaha yang dilakukan sebagai persediaan menangkis serangan musuh, baginda telah membina sebuah benteng. Dalam pembinaan benteng tersebut baginda sendiri telah membuka baju dan serbannya untuk mengangkat pasir dan batu yang mana tingkah lakunya itu telah menyebabkan para menteri dan ulamak terpaksa ikut serta. Begitu tawadhu'nya sifat yang dimiliki oleh baginda hasil didikan awal daripada gurunya sendiri.
Setelah semua persediaan dilakukan dengan kelengkapan dan senjata moden yang dimiliki, maka pada 19 April 1453 baginda yang ketika itu berusia 21 tahun telah menggerakkan 72 buah kapal ke perairan Teluk Golden Horn dan melancarkan serangan ke atas tentera Byzantine. Dalam misi tersebut baginda telah membawa sekali para ulamak dan pakar motivasi bagi meniup semangat jihad tenteranya. Tentera musuh berasa gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat dibelakang pemimpin mereka dengan satu laungan takbir. Dalam serangan ini tentera Islam telah mengepung Kota Constantinople selama 48 hari disusuli dengan tembakan meriam yang bertali arus yang menyebabkan kerosakan teruk pada dinding luar kota tersebut, akan tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Senjata yang dimiliki tidak mampu untuk memecahkan dinding tengah Kota tersebut. Kemudian tentera Islam ditekan lagi dengan bantuan daripada Pope Vatican kepada tentera Byzantine yang menghantar lima buah armada yang dilengkapi dengan senjata dan tentera. Ditambah pula rantai besi telah direntangkan di perairan Teluk Golden Horn tersebut bagi menghalang kemaraan tentera Islam. Tentera Byzantine bersorak gembira kerana menyangka kemenangan sudah berpihak kepada mereka.
Perairan Teluk Golden Horn yang dirintangi rantai besi.
Rantai besi yang merintangi Perairan Teluk Golden Horn.
Dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Sultan al-Fateh, baginda telah menggunakan satu strategi yang tidak pernah digunakan oleh sesiapa pun sebelum ini. Pada waktu malamnya baginda telah mengarahkan tentera-tentera bagindauntuk menebang pokok-pokok di kawasan bukit dan mengangkut kapal-kapal mereka ke sana dan diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn.
Jalan yang dibina di atas bukit untuk laluan kapal tentera Islam.
Subhanallah, amat menakjubkan! Hanya dengan satu malam sahaja baginda berjaya membawa 72 buah kapal melalui bukit dan menyusur semula ke laut bagi mengelak halangan rantai besi yang merintangi perairan Teluk Golden Horn sekaligus menggemparkan tentera Byzantine setelah menyedari kehadiran 72 buah kapal tentera Islam di hadapan mereka pada keesokkan paginya.
Peluang itu digunakan sebaiknya dengan membedil pertahanan tentera Byzantine dan menyebabkan pertahanan musuh semakin lemah. Pada waktu malamnya Sultan al-Fateh telah menaikkan semangat tentera-tenteranya dengan mengingatkan kembali hadis Rasullullah SAW serta berdoa kepada Allah.
Keesokkan harinya mereka melancarkan lagi serangan dengan harapan untuk menamatkannya sekaligus menawan Kota Constatinople. Akan tetapi tembok tinggi yang dibina menyukarkan kemaraan tentera-tentera Islam, malah ramai yang telah gugur syahid.
Serangan yang masuk hari ke-53 tanpa menunjukkan tanda-tanda kemenangan telah menimbulkan rasa bosan dan melemahkan keyakinan diri tentera baginda. Melihat akan perihal itu maka Sultan al-Fateh bangun membakar semangat tentera baginda dengan berkata; "Wahai tentera ku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku."
Mendengar kata-kata itu, maka seorang panglimanya yang bernama Hassan Ulubate bingkas bangun diikuti dengan 30 tentera bawah pimpinannya lalu memanjat dinding kota tersebut dan masuk ke kubu musuh lantas memacakkan bendera Islam di situ. Keberanian mereka dibayar dengan mati syahid akibat dihujani dengan anak panah tentera musuh. Kemudian, dengan semangat jihad yang dimiliki maka tentera-tentera Islam yang lain terus menyerbu bertali arus ke kubu musuh dengan melaungkan kalimah Allahu Akbar dan menghasilkan kemenangan kepada tentera Islam.
Maka pada tanggal 19 Mei 1453 Kota Constatinople telah berjaya jatuh ke tangan Islam. Dan Baginda telah menukarkan namanya kepada Istanbul. Dalam satu peristiwa ketika mana solat Jumaat pertama hendak didirikan telah timbul pertanyaan siapa yang layak untuk menjadi imam. Baginda telah mengarahkan semua tenteranya untuk bangun termasuklah dirinya. Lalu baginda bertanyakan soalan; "Siapkah antara kita yang sejak akhil balighnya hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walaupun sekali sila duduk." Tiada seorang pun yang duduk kerana tiada seorang pun antara mereka yang pernah meninggalkan solat fardhu.
Lalu baginda bertanya lagi; "Siapa antara kita yang sejak akhil baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk." Kelihatan sebahagian tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi; "Siapa antara kita yang sejak akhil baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat sunat tahajjut walaupun satu malam sila duduk." Kali ini semua tenteranya duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fateh. Memang benar baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, sunat rawatib serta tahajjut. Inilah dia anak didik gurunya iaitu Sheikh Syamsudin al-Wali
Hanya selepas 800 tahun hadis tersebut diucapkan barulah ianya menjadi kenyataan yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.