Beruntunglah kita sebagai hamba Allah, makhluk di kalangan manusia yang terpilih dalam agama Islam. Sebuah agama yang diredhai yang mencakupi urusan duniawi dan ukhrawi, ibadat dan adat, kaedah untuk hidup di dunia fana supaya selamat di alam baqa.. Termasuklah dalam urusan politik, ekonomi, sosial, muamalat dan sebagainya. Begitulah syumul, universal dan murunah-nya agama Islam.
Nabi SAW ketika menulis surat kepada Herculas ada menyebut, aslim taslam yang bermaksud "masuklah kamu ke dalam agama Islam, nescaya kamu akan selamat".
Ayat atau seruan ini boleh diertikan dalam pelbagai dimensi. Mungkin nasihat, amaran, kata-kata motivasi ataupun suatu ungkapan janji. Namum apa pun, yang pasti ianya suatu jaminan kebaikan yang terdapat dalam agama wahyu ini, iaitu agama Islam.
Bagaimanakah mungkin kita terselamat? Seperti yang disebut pada awal muqaddimah tentang kesyumulan Islam, ia termasuklah mengenai cara-cara menguruskan kehidupan melalui suatu peraturan yang dinamakan "maqasid as-syar'iah".
Terdapat tiga pembahagian maqasid as-syar'iah yang mana bahagian pertamanya adalah yang terpenting yang dinamakan sebagai "al-dharuriyat".
Al-dharuriyat ini dikatakan begitu penting dalam peraturan menguruskan kehidupan adalah kerana sifatnya yang mana jika ditinggalkan atau dibiarkan akan membawa kerosakan, kemusnahan, kecelakaan dan ketidakseimbangan dalam sistem sosial, sekaligus bertentangan dengan norma hidup manusia.
Terdapat lima prinsip yang terkandung dalam al-dharuriyat ini yang wajib dilaksanakan iaitu:
1. Memelihara agama
2. Memelihara akal fikiran
3. Memelihara nyawa
4. Memelihara maruah
5. Memelihara harta
Terdapat signifikan terhadap setiap susunan prinsip ini. Oleh itu dalam menguruskan kehidupan, seorang muslim itu perlu bijak mengatur perkara yang paling utama dan mempertahankan prinsip al-dharuriyat bersesuaian dengan waqi' pada ketika itu.
Seperti contoh permasalahan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram seperti pemimpin dan rakyat dan sebagainya.
Dalam hal ini ia merupakan tanggungjawab dan peranan kedua-dua belah pihak samada lelaki ataupun wanita, pemimpin mahupun rakyat. Kedua-duanya perlu mengelak dan menjauhkan daripada melakukan perkara tersebut demi memelihara agama dan maruah.
Lebih-lebih lagi sebagai seorang pemimpin maka beliaulah yang harus menjadi pembimbing supaya perkara seperti itu dapat dielakkan.
Bilakah kita dibenarkan untuk melanggar prinsip ini? Tiada alasan untuk kita sebagai seorang muslim untuk mengetepikan larangan dan suruhan Allah.
Ianya mungkin akan terjadi hanya sekiranya dalam situasi yang meletakkan nyawa individu terbabit dalam keadaan Terancam. Maka dalam konteks ini dikatakan harus demi menyelamatkan nyawa dan untuk meneruskan kelangsungan dakwah Islamiah.
Sebagai pedoman, marilah kita bersama-sama tingkatkan keimanan, teguhkan pendirian dan hidup sebagai seorang mukmin yang professional dengan mempertahankan maqasid as-syar'iah yang pertama ini demi kelangsungan hidup yang harmoni, diredhai dan dirahmati.
Janganlah kita mula memperjudikan prinsip ini dengan mula mengikut sesuatu yang bertentangan kerana jika sekali kita lakukannya sampai bila-bila pun mereka yang berkenaan akan menjadikan ia alasan supaya kita mengulanginya semula.
Ia berkenaan dengan pendirian, maruah dan jati diri. Pertahankan agama, insyaAllah kita dihormati dan disegani.
Wallahua'lam~ :)