Wednesday, December 14, 2011

:::Muhasabah Menuntut Ilmu:::

Hari ini ramai yang inginkan pendidikan yang tinggi. Kita sedar bahawa dengan kelulusan yang tinggi dapat menjamin masa depan yang cerah, insyaAllah.. Oleh yang demikian kita sedaya upaya berusaha untuk menuntut ilmu dengan mengorbankan masa, wang ringgit dan juga tenaga demi memperoleh segulung ijazah.

Ilmu itu ada keberkatannya. Ketika menuntut ilmu ianya bukanlah sekadar untuk menghadapi peperiksaan mahupun sekadar menyiapkan tugasan yang diberikan. Ianya lebih daripada itu. Ketika menuntut ilmu kita inginkan keberkatan ilmu tersebut. Ilmu yang berkat ialah bilamana ianya kekal berada dalam hati kita juga berjaya diamalkan.

Kita bukannya mahukan ilmu untuk suatu jangka masa pendek, tetapi ia sepatutnya merentasi jangka masa yang panjang. Ramai antara kita yang belajar hanya untuk menghadapi peperiksaan dan bila selesai peperiksaan maka tinggallah segala apa yang telah dihafal.

Benarlah kata2 pujangga, "al-'ilmu fi sudur, la fi sutur.." Yang bermaksud ilmu itu di dalam dada, bukan di atas kertas. Maka berubahlah sewajarnya. Jadikanlah menuntut ilmu itu sebagai suatu tabiat yang bilamana dilakukan ianya menggembirakan hati dan menenangkan jiwa. Bukanlah menuntut ilmu itu sebagai suatu bebanan dan akan berasa tertekan kerana payahnya ilmu tersebut dan akhirnya menarik diri daripada kepayahan tersebut.

Tidak mengapa bersusah sekarang. Tidak mengapa berasa tertekan, tapi janganlah berputus asa. Keberkatan juga akan datang dari keikhlasan, kesabaran dan hati yang cekal. Jika menuntut ilmu itu mudah maka ramailah cendikiawan dan para ilmuan berbanding dengan mereka yang bukan dari golongan itu.

Sebab itulah Allah mengangkat darjat orang2 yang berilmu. Bukanlah sebab tidak adilnya Allah itu, tapi sebagai anugerah kepada mereka yang sanggup bersusah payah untuk mendapatkan ilmu dan mengamalkannya sekaligus dapat membantu pada Islam.

Jadi dengan peluang dan ruang yang diperolehi ini kita gunakanlah sebaik-baiknya. Kesusahan sekarang adalah untuk kesenangan masa hadapan, insyaAllah. Mungkin kita susah untuk memahami apa yang dipelajari sekarang, tapi dengan berkat kesabaran dan semangat yang tidak pernah luntur barangkali itulah yang akan menjadikan ilmu itu terkesan hingga dapat diaplikasi dalam kehidupan harian..

Ujian itu adalah untuk menilai tahap prestasi kita. Begitu juga dengan ujian dalam kehidupan, ianya untuk menilai sekuat mana iman kita, kuatkah kita selepas kita mempromosi tentang "kesabaran". 

Allah tidak membebankan seseorang melainkan bersesuaian dengan kemampuan dan mengikut atas kapasiti dirinya. 

Wallahua'lam~



I want to be a professional Mukmin! ;)



Chaiyok! All the best to all Muslims!