Saturday, October 29, 2011

HSC TR 13

Pada pagi Ahad yang kebiasaannya pelajar2 lain menggunakan masa untuk berehat, pergi berjalan dan berseronok, tapi bagi aku hari ni perlu digunakan sebaiknya dan hari ni aku memencilkan diri seharian untuk  duduk di HSC TR 13 sebuah tutorial room di Human Science building di UIA bagi menyiapkan segala tugasan yang tertangguh yang perlu dihantar pada minggu hadapan. Alhamdulillah siap jua...

Ketika sedang asyik menaip assignment, slides untuk presentation dan juga nota peribadi, tiba2 terasa nak buka blog yang dah terlalu lama terbiar. Kemudian terasa pula untuk menulis sesuatu sebagai diari kehidupan.

Apa yang menyebabkan aku terlalu sibuk sampaikan tak ada masa untuk update blog? Actually aku baru dilantik sebagai kapten team silat UIA dan aku rasa banyak perubahan yang aku perlu lakukan demi kebaikan team silat sendiri. Selain tu komitmen lain yang ada sekarang ialah aku juga dilantik sebagai mainboard bagi sekretariat Pencegahan Rasuah UIAM (SPRM) dan satu tugas lain ialah aku mengikat kontrak sebagai tutor dengan mengajar pelajar2 junior Sains Politik. Tak cukup dengan semua ni, jumlah jam kredit untuk semester kali ni pun agak tinggi iaitu 22 credit hour.

Tapi sebenarnya aku tak boleh jadikan alasan dan menyalahkan perkara lain atas kelemahan diri sendiri dalam soal menguruskan masa. Bukankah bebanan tanggungjawab itu diberi bersesuaian dengan kapasiti diri kita? Yup benar.. Tapi untuk realiti kehidupan aku sekarang itulah hakikatnya.

Apa yang aku kejarkan selama ini dan apa yang dah aku miliki sekarang bukanlah untuk bermegah-megah, tapi sebagai persiapan diri untuk menjadi pemimpin diri, keluarga dan masyarakat untuk masa hadapan. Aku cuba belajar untuk lebih bersyukur dengan nikmat masa yang ada dan belajar nilai2 yang lain. Tidak bekerja di bawah tekanan dan cuba uruskan masa sebaiknya.

Aku selalu nasihat dan bagi motivasi kepada orang lain, tapi diri sendiri juga perlu amalkan apa yang selalu dikatakan itu dan cuba memotivasikan diri untuk meningkatkan kualiti diri dalam semua hal, insyaAllah..

Optimis... Yup, satu nilai yang perlu aku selalu tanamkan dalam diri aku. Orang lain boleh lakukannya, kenapa aku tidak? Aku juga boleh lakukannya! Setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza, tapi objektifnya sama, adalah untuk mencapai pengakhiran yang baik.

Wallahua'lam~


Thursday, May 26, 2011

:::Cinta Yang Membawa Kepada Bibit2 Ketaqwaan:::

Alhamdulillah sempat juga menulis walaupun agak sibuk untuk menyiapkan research ditambah lagi dengan badan yang tidak sihat akibat faktor cuaca yang tidak menentu. Semua tu adalah ujian dan semoga menjadi kafarah dosa2 yang lalu, ameen insyaAllah.. Syukran kepada seseorang yang mengingatkan aku kembali tentang ini..

Kali ni tajuk agak jiwang, tapi amat mendalam. Tiada istilah "kapel" ataupun cinta sebelum kahwin. Tapi bagaimana kita nak selarikannya dengan tuntutan fitrah semulajadi kita? Jawapannya adalah melalui satu ikatan tidak rasmi yang dipanggil sebagai "khitbah" yang membawa maksud pertunangan.

Khitbah atau pertunangan ini bukanlah suatu ikatan yang biasa. Ianya adalah perkara yang disyariatkan dalam Islam bagi pasangan yang berniat mendirikan rumah tangga. Ikatan ini adalah merupakan suatu janji setia yang dibuat oleh kedua belah pihak lelaki dan perempuan sebagai penerimaan terhadap diri pasangan mereka.

Dalam tempoh ikatan ini berlangsung pasangan itu akan melalui satu sesi yang dipanggil sesi "taaruf" bertujuan untuk mengenali lebih dekat tentang diri bakal teman hidup mereka itu nanti.

Walau bagaimanapun ianya masih lagi terbatas, dalam kata lainnya tiada kebebasan dalam pergaulan. Setiap perkara yang dilakukan hendaklah berlandaskan syariat, cuma diberi kelonggaran untuk mendengar suara, melihat wajah dan sebagainya bagi tujuan taaruf tersebut, selagi mana tidak melampaui hingga melakukan maksiat dan dinodai nafsu. Berhubung atas tujuan yang munasabah adalah yang lebih selamat, insyaAllah..

Ikatan pertunangan yang terjalin juga bermakna individu2 terbabit telah menutup ruang kepada orang lain daripada mendekati mereka. Hukum bagi sesiapa ynag telah tahu seorang wanita itu telah "diikat", maka haram ke atas mereka untuk meluahkan perasaan terhadap wanita tersebut, apa ntah lagi melakukan pinangan kedua terhadap wanita tersebut.

Betapa Islam menitik beratkan perihal ini, ingin menjaga keharmonian ummah. Setiap apa yang disyariatkan itu ada hikmah di sebaliknya yang kita sendiri boleh fikirkan..

Kita semai perasaan cinta itu hingga membawa kepada bibit-bibit ketaqwaan. Jaga dan peliharalah ikatan tersebut sehingga sah diijab qabul kan nanti..

Saturday, May 21, 2011

:::Menawan Puncak Highland Tower:::

Alhamdulillah, hari ni aku berjaya menyelesaikan misi menawan puncak Highland Tower iaitu dengan mendaki sehingga ke tingkat 13 bangunan usang berkenaan.

Kepada sesiapa yang tidak tahu apa dia dan di mana terletaknya Highland Tower tu, ianya sebenarnya terletak di Hillview Ulu Klang Selangor, dekat2 je dengan jalan nak ke Ukay Perdana kat Ampang. Ianya adalah sebuah bangunan yang telah lama ditinggalkan. Pada tahun 1993 salah satu daripada blok bangunan tersebut telah rebah ke bumi disebabkan oleh tanah runtuh, terkesan daripada hujan lebat yang tidak berhenti selama 10 hari. Dalam kejadian tersebut seramai 48 orang penghuni maut termasuklah anak kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Musa Hitam.

Highland Tower ni ada 3 blok, tapi yang runtuh cuma 1 blok sahaja. Dua blok lagi masih tegak berdiri tanpa ada tanda2 nak runtuh walaupun pakar kaji bumi pernah keluarkan amaran bahawa bangunan tersebut bakal runtuh bila2 masa sahaja. (Sumber daripada wikipedia)

Sejak daripada kejadian tu bangunan tersebut tidak lagi didiami dan dibiarkan kosong dan sekarang ni memang dipenuhi dengan semak samun dan memang agak menyeramkan..huhu.. Orang kata bangunan tersebut "keras", wallahua'lam..

Kalau nak diikutkan, dah lama aku nak pergi melawat bangunan tersebut, tapi atas sebab kekangan masa, so tak dapatla..Cuma pada tanggal 21 May 2011 (pagi tadi, pukul 10), aku dan 3 orang rakan yang lain buat keputusan untuk pergi dan tengok sendiri bangunan usang tersebut. Aku sediakan bukti yang kami dah tawan tingkat ke-13 (puncak) Highland Tower.. Enjoy! ;-)

Sebelum masuk ke dalam bangunan Highland Tower. (Belakang tula Highland Tower)
Baca ayat Kursi dulu sebelum masuk.. =)

Tingkat paling bawah

Berada di puncak, tingkat 13 Highland Tower

 Tingkat atas dipenuhi dengan semak

 Pintu ke bilik janaan elektrik. Tapi dah kosong, takde pape dah.. Kat sini aku disambut dengan tahi burung. Tiba2 je ada sekor burung terbang & melepaskan bahan buangan dari atas tepat kena tanagn kiri aku..huhu

Pandangan dari puncak Highland Tower 

 Merentasi "halangan" dalam bangunan Highland Tower

Keadaan di tingkat atas. (Di sudut lain) 

"Klik!"  Sempat snap gambar bangunan sebelah. (Blok ketiga yang tidak runtuh)

Pandangan dari bawah. Usangnya..seram pulak masa upload gambar ni..huhu.. 

 Dah macam taman Botanikal je..

Lagi pandangan dari bawah.. 


Macam gambar dari CCTV je kan3.. ;-) 

Depan Lif di tingkat 13 yang dah lama ditinggalkan. Lif pun dah hilang ntah ke mana.. Meremang bulu roma masa ni,huhu..

perigi buta di tingkat 13..hehe..

Berdasarkan pengalaman sendiri ketika masuk ke dalam bangunan usang ni, sebenarnya tak ada apa2 pun. Semuanya bergantung kepada mental dan psikologi kita. Apa yang kita fikirkan maka perkara tula yang akan berlaku. Tapi khabar2 angin yang mengatakan bangunan ini berpenunggu tidak boleh dinafikan juga sebab makhluk halus tu memang wujud. Alhamdulillah kami dihijabkan daripada dunia mereka. Kita tidak boleh terlalu takut dan tidak boleh terlalu berani. Berada di tengah-tengah adalah yang paling selamat.

Islam pun menganjurkan konsep "wasatiah", so kita apply kan lah dalam kehidupan seharian kita. Jika terlalu extream akan membawa kita kepada keganasan/ perkara tak diingini, tapi jika terlalu takut akan jadikan kita orang yang pengecut..nauzubillahi min zalik..

Monday, May 9, 2011

:::Lembaran Baru:::

Alhamdulillah hari ni secara rasmi bermulanya semester baru bagi pelajar2 UIAM. Tapi ni bukanlah sem panjang. Sem pendek, makan masa sebulan lebih je..Hujung bulan Jun nanti dah final exam dh..huhu..

Seperti semester2 sebelum ni, sem pendek yang baru ni pun merupakan satu lembaran baru untuk aku. Ada azam lama yang nak ditunaikan dan ada jugak azam baru yang nak dicapai, insyaAllah..

Nama pun sem pendek, so subjek pun tak banyak. Aku amek 3 subjek je.. Tapi takleh main2, kena struggle untuk naikkan CGPA yang dah jatuh sikit masa sem lepas.

Lumrah hari pertama semester, mood cuti masih segar lagi. Mane taknye, sempat cuti 3 minggu je. Tapi walau macam mana pun masa cuti yang singkat tu membawa kenangan sangat berharga untuk aku. Tak perlu aku share kat sini sebab ni terlalu personal. Lagi pun hal ni tak perlu diheboh2 kan. Cukup sekadar pihak tertentu je yang tahu. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan.

Haa, berbalik ke sem baru ni. Antara agenda penting dalam sem ni ialah aku nak capai target aku untuk pingat emas dalam MASUM bulan Jun nanti. Apa pulak MASUM tu ek? Majlis Sukan Universiti2 Malaysia..Aku main acara silat olahraga, kategori D putera..Haa, lengkap lagi tu..hehe.. Tapi ada masalah sikit. Tarikh MASUM tu betul2 kena kat tarikh final exam. Hopefully aku dapat manage sebaiknya dan tak ketinggalan menyertai MASUM kali ni sebab ni aku punya last MASUM. Next MASUM aku dah grad..huhu..

Ok, setakat ni jela.. Kepada rakan2 yang amek sem pendek ni, selamat menuntut ilmu, do the best. Dan rakan2 yang tak amek sem pendek dan sedang bekerja ataupun lepak2 goyang kaki kat rumah, jumpa lagi kat sem panjang bulan September nanti. Jangan sampai aku tak kenal korang lagi pulak. Mana taknye, makan tido je tau, silap2 bulat jadinya nanti..eheh..

Kepada kawan2 yang dah grad pulak, semoga berjaya dalam hidup korang. Semoga peroleh kerja yang baik. Gaji pertama belanja le....hehe.. :-D

Wednesday, May 4, 2011

:::Takutkan Bini:::

Al-kisah di sebuah negeri yang tidak diketahui namanya di mana rajanya seorang yang sangat bengis. Tetapi sungguh mengaibkan kerana raja tersebut diketahui kelemahannya yang takut kepada isterinya iaitu permaisuri di negeri tersebut. 

Setiap urusan pemerintahan diuruskan oleh si permaisuri sehinggakan hal berkaitan hobi si raja pun turut dikawal. Si raja tidak berasa bebas dan sering dimarahi oleh permaisuri walaupun baginda melakukan kesalahan kecil dan perkara ini amat memalukan dan menjatuhkan air muka baginda.

Lalu pada suatu hari tanpa pengetahuan permaisuri, si raja telah bertemu secara sulit dengan bendahara raja dan meminta bendahara mengumumkan kepada rakyat jelata bahawa raja menitahkan supaya kaum lelaki berkumpul di suatu tempat yang ntah di mana lokasinya. Betapa si raja takut akan permaisurinya kerana semuanya dilakukan secara sulit.

Maka berkumpul lah semua rakyat negeri tersebut yang lelaki demi memenuhi titah si raja di suatu tempat yang tidak diketahui oleh permaisuri. Tidak ada seorang lelaki pun yang tidak hadir pada hari itu kerana beria benar untuk mengetahui apa hajatnya si raja memanggil mereka. Maka si raja pun bertitah, "Siapakah antara kalian yang tidak takut kepada isteri silalah bergerak membentuk kumpulan di sebelah kiri beta!"

Maka semua lelaki yang hadir pada hari itu bergerak dan membentuk satu kumpulan di sebelah kiri baginda kecuali hanya seorang lelaki yang dilihat tidak bergerak dan memandang tenang ke arah si raja.

Melihat akan perihal itu si raja berasa sungguh kagum dengan lelaki tersebut, lalu diperintahkan lelaki itu untuk menghadap si raja. Sudah tiga kali si lelaki itu dipanggil untuk menghadap si raja akan tetapi lelaki tersebut masih juga tidak bergerak dari tempat asalnya untuk menghadap baginda.

Sekali lagi si raja berasa kagum dengan si lelaki tersebut dan terdetik di hati baginda, "sedangkan perintah beta tidak diendahkannya, apa ntah lagi perintah isterinya. Memang dia seorang yang berani dengan isterinya!"

Lalu si raja mencemar duli dengan pergi sendiri menghampiri si lelaki dan bertanya kepadanya; "wahai tuan hamba, apakah rahsianya tuan hamba menjadi berani dengan isteri tuan hamba? Beta benar-benar ingin mengetahuinya.."

Si lelaki pun menjawab; "Bagaimana tuanku tahu patik berani dan tidak takut dengan isteri patik? Sebenarnya patiklah yang paling takut dengan isteri patik.."

Mendengar jawapan lelaki itu si raja berasa murka seolah-olah dipermain-mainkan. Lalu dengan perasaan marah si raja bertanya kepadanya; "Bukankah beta sudah mengarahkan sesiapa yang takutkan isteri sila bergerak dan membentuk satu kumpulan di kiri beta?!"

Si lelaki menjawab; "Benar tuanku. Tetapi apakan daya, patik terlalu takut dengan isteri patik. Sebelum patik ke mari isteri patik telah berpesan supaya setibanya patik ke sini patik tidak dibenarkan untuk bergerak ke mana-mana. Itulah sebabnya patik terpaksa mengingkari perintah tuanku dan duduk diam-diam di sini."

Semua yang ada di situ diam seribu bahasa.. hehe..



Thursday, April 28, 2011

:::Majlis Khatam al-Quran:::

Alhamdulillah baru sebentar tadi telah berlangsung satu lagi majlis khatam al-Quran di rumah, sekaligus menjadikan jumlah murid yang telah khatam di sini mencapai 43 orang. Di rumah kami memang dijadikan tempat belajar mengaji dan ramai penduduk taman perumahan di sini menghantar anak-anak mereka untuk belajar mengaji. Pada awalnya ketika kami adik-beradik masih kecil hanya umi dan buyah sahaja yang menjadi guru mengajar murid-murid yang sebaya dengan kami. 

Apabila masa berlalu dan anak-anak semakin membesar dan kami pun turut membantu mengajar mengaji kepada adik-adik yang sedang meningkat umurnya. Dan murid yang berkhatam pada hari ini iaitu adik Syahir Syazani adalah antara murid yang telah berjaya dididik untuk menamatkan pengajian al-Qurannya.

Memang menjadi kebiasaan sekiranya ada pelajar yang tamat pengajiannya, mereka akan dirai dengan mengadakan majlis khatam al-Quran dengan mengikut kaedah tradisional iaitu guru akan perdengarkan bacaan dan diikuti oleh pelajar yang terbabit. Dan untuk bacaan berikutnya akan diteruskan oleh pelajar itu sendiri dan disambut dengan tasbih setiap kali tamatnya satu surah yang dibaca.

Khatam al-Quran ini diambil sempena peristiwa Nabi Muhammad SAW ingin memilih calon menantu baginda dengan meminta kepada para sahabat baginda supaya mengkhatamkan bacaan al-Quran. Maka setiap daripada sahabat baginda pun memulakan bacaan dari surah al-Baqarah, kecuali Sayyidina Ali yang memulakan bacaan daripada surah ad-Dhuha sehingga surah an-Nas. Dengan peristiwa itu nabi Muhammad SAW telah mengambil Sayyidina Ali sebagai menantu baginda untuk dikahwinkan dengan puteri baginda iaitu Fatimah. 

Akan tetapi kesahihan cerita ini tidak diketahui kerana penulis sendiri sekadar mendengarnya daripada arwah Datuk penulis iaitu Sheikh Hassan Bin Sheikh Ahmad dan juga melalui ayah penulis iaitu Yusof Bin Sheikh Hassan.

Dalam majlis khatam al-Quran ini, pelajar terbabit akan memperdengarkan bacaannya bermula daripada surah ad-Dhuha hingga surah an-Nas. Sepanjang bacaannya itu, perihal hal asas tajwid akan diberi perhatian. Ini kerana khatam al-Quran bukanlah bermaksud pelajar terbabit sudah tamat pengajiannya dan dianggap tidak perlu untuk mengaji al-Quran lagi, tetapi ianya sebenarnya sebagai permulaan bagi pelajar tersebut untuk lebih mendalami pengajian al-Quran dengan memperbaiki bacaannya dari semasa ke semasa.








Penulis duduk di sebelah ayah penulis sedang memangku anak buah pertama berusia 3 bulan.




Murid-murid kelas al-Quran 


Adik Syahir Syazani 


Menerima cenderamata daripada ayah penulis merangkap guru di kelas al-Quran.


Bismillahirrahmanirrahim...
Ya Allah, kasihanilah kami dengan berkat al-Quran, dan jadikannya sebagai pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah, ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari al-Quran, dan ajarlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi al-Quran, dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membaca pada waktu-waktu malam dan siang, dan jadikanlah al-Quran itu sebagai hujjah untuk kami, wahai tuhan sekalian alam..

Ya Allah, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran, muliakan kami dengan kemuliaan al-Quran, dan serikan kami dengan ketinggian martabat al-Quran, dan pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran, masukkanlah kami ke dalam syurga dengan syafaat al-Quran, selamatkan kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan al-Quran..
Ameeen ya Robbal 'alamin..


Wednesday, April 27, 2011

:::Pembebasan Constantinople:::

Nabi Muhammad SAW ketika menggali parit Khandak pernah berkata bahawa pada suatu hari nanti Constantinople akan dimiliki oleh orang Islam yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

Mendengar kata-kata Rasullullah itu maka ramailah di antara para sahabat yang berusaha untuk membebaskan Constantinople melalui beberapa siri kempen yang dilakukan termasuklah ketika zaman pemerintahan Bani Umayyah, Abasiyyah dan juga Uthmaniah. Tetapi malangnya kesemua kempen tersebut menemui kegagalan. Salah seorang sahabat yang sudah terlalu uzur ketika itu yang bernama Abu Ayyub al-Ansari telah mengikut satu kempen peperangan untuk membebasan Constatinople, malangnya beliau telah menemui ajal di sana dan sebelum kematiannya beliau telah meminta supaya jasadnya dikebumikan di tepi tembok Constatinople tersebut. Bila ditanya mengapa beliau meminta berbuat demikian, lalu beliau menjawab bahawa beliau ingin mendengar derapan tapak kaki kuda tentera Islam yang akan menawan Constatinople pada ketika itu yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera!

Sultan Muhammad II atau dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh yang dilahirkan pada 30 Mac 1432 telah diangkat menjadi Raja menggantikan ayahanda beliau Sultan Murad II, khalifah bani Uthmaniah pada ketika itu pada usia 19 tahun. Di peringkat awalnya baginda telah dididik dengan ilmu agama yang cukup oleh gurunya iaitu Sheikh Syamsudin al-Wali. Sungguhpun baginda merupakan pewaris takhta, akan tetapi baginda telah dibiasakan dengan kehidupan yang sederhana untuk menanamkan sifat tawadhu' dalam diri baginda. Dalam ilmu peperangan pula baginda telah dilatih menunggang kuda, strategi-strategi peperangan serta dilatih menggunakan senjata.

Ketika baginda diangkat menjadi raja menggantikan ayahandanya, baginda telah bercita-cita untuk menawan dan membebaskan Constantinople daripada cengkaman Raja Byzantine yang zalim. Maka selama dua tahun baginda telah mengkaji pelan Kota Constantinople setiap malam bagi mencari titik kelemahan serta mencari jawapan bagi setiap kekalahan yang dialami oleh tentera Islam sebelum ini.

Antara usaha yang dilakukan sebagai persediaan menangkis serangan musuh, baginda telah membina sebuah benteng. Dalam pembinaan benteng tersebut baginda sendiri telah membuka baju dan serbannya untuk mengangkat pasir dan batu yang mana tingkah lakunya itu telah menyebabkan para menteri dan ulamak terpaksa ikut serta. Begitu tawadhu'nya sifat yang dimiliki oleh baginda hasil didikan awal daripada gurunya sendiri.  

Setelah semua persediaan dilakukan dengan kelengkapan dan senjata moden yang dimiliki, maka pada 19 April 1453 baginda yang ketika itu berusia 21 tahun telah menggerakkan 72 buah kapal ke perairan Teluk Golden Horn dan melancarkan serangan ke atas tentera Byzantine. Dalam misi tersebut baginda telah membawa sekali para ulamak dan pakar motivasi bagi meniup semangat jihad tenteranya. Tentera musuh berasa gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat dibelakang pemimpin mereka dengan satu laungan takbir. Dalam serangan ini tentera Islam telah mengepung Kota Constantinople selama 48 hari disusuli dengan tembakan meriam yang bertali arus yang menyebabkan kerosakan teruk pada dinding luar kota tersebut, akan tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Senjata yang dimiliki tidak mampu untuk memecahkan dinding tengah Kota tersebut. Kemudian tentera Islam ditekan lagi dengan bantuan daripada Pope Vatican kepada tentera Byzantine yang menghantar lima buah armada yang dilengkapi dengan senjata dan tentera. Ditambah pula rantai besi telah direntangkan di perairan Teluk Golden Horn tersebut bagi menghalang kemaraan tentera Islam. Tentera Byzantine bersorak gembira kerana menyangka kemenangan sudah berpihak kepada mereka.

                               Perairan Teluk Golden Horn yang dirintangi rantai besi.


                               Rantai besi yang merintangi Perairan Teluk Golden Horn. 


Dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Sultan al-Fateh, baginda telah menggunakan satu strategi yang tidak pernah digunakan oleh sesiapa pun sebelum ini. Pada waktu malamnya baginda telah mengarahkan tentera-tentera bagindauntuk menebang pokok-pokok di kawasan bukit dan mengangkut kapal-kapal mereka ke sana dan diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn.

                          Jalan yang dibina di atas bukit untuk laluan kapal tentera Islam.


Subhanallah, amat menakjubkan! Hanya dengan satu malam sahaja baginda berjaya membawa 72 buah kapal melalui bukit dan menyusur semula ke laut bagi mengelak halangan rantai besi yang merintangi perairan Teluk Golden Horn sekaligus menggemparkan tentera Byzantine setelah menyedari kehadiran 72 buah kapal tentera Islam di hadapan mereka pada keesokkan paginya.

Peluang itu digunakan sebaiknya dengan membedil pertahanan tentera Byzantine dan menyebabkan pertahanan musuh semakin lemah. Pada waktu malamnya Sultan al-Fateh telah menaikkan semangat tentera-tenteranya dengan mengingatkan kembali hadis Rasullullah SAW serta berdoa kepada Allah.

Keesokkan harinya mereka melancarkan lagi serangan dengan harapan untuk menamatkannya sekaligus menawan Kota Constatinople. Akan tetapi tembok tinggi yang dibina menyukarkan kemaraan tentera-tentera Islam, malah ramai yang telah gugur syahid.

Serangan yang masuk hari ke-53 tanpa menunjukkan tanda-tanda kemenangan telah menimbulkan rasa bosan dan melemahkan keyakinan diri tentera baginda. Melihat akan perihal itu maka Sultan al-Fateh bangun membakar semangat tentera baginda dengan berkata; "Wahai tentera ku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku."

Mendengar kata-kata itu, maka seorang panglimanya yang bernama Hassan Ulubate bingkas bangun diikuti dengan 30 tentera bawah pimpinannya lalu memanjat dinding kota tersebut dan masuk ke kubu musuh lantas memacakkan bendera Islam di situ. Keberanian mereka dibayar dengan mati syahid akibat dihujani dengan anak panah tentera musuh. Kemudian, dengan semangat jihad yang dimiliki maka tentera-tentera Islam yang lain terus menyerbu bertali arus ke kubu musuh dengan melaungkan kalimah Allahu Akbar dan menghasilkan kemenangan kepada tentera Islam. 

Maka pada tanggal 19 Mei 1453 Kota Constatinople telah berjaya jatuh ke tangan Islam. Dan Baginda telah menukarkan namanya kepada Istanbul. Dalam satu peristiwa ketika mana solat Jumaat pertama hendak didirikan telah timbul pertanyaan siapa yang layak untuk menjadi imam. Baginda telah mengarahkan semua tenteranya untuk bangun termasuklah dirinya. Lalu baginda bertanyakan soalan; "Siapkah antara kita yang sejak akhil balighnya hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walaupun sekali sila duduk."  Tiada seorang pun yang duduk kerana tiada seorang pun antara mereka yang pernah meninggalkan solat fardhu.

Lalu baginda bertanya lagi; "Siapa antara kita yang sejak akhil baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk."  Kelihatan sebahagian tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi; "Siapa antara kita yang sejak akhil baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat sunat tahajjut walaupun satu malam sila duduk."  Kali ini semua tenteranya duduk kecuali Sultan Muhammad al-Fateh. Memang benar baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, sunat rawatib serta tahajjut. Inilah dia anak didik gurunya iaitu Sheikh Syamsudin al-Wali

Hanya selepas 800 tahun hadis tersebut diucapkan barulah ianya menjadi kenyataan yang mana rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.



Sunday, April 24, 2011

:::Imam Muda:::

Hari ni aku bukan nak bercerita tentang rancangan Imam Muda yang macam kat dalam TV tu, tapi aku nak cerita pengalaman aku sendiri menjadi imam. Ni betul2 punya imam ni, bukan main2...

Al-kisahnye begini.. Sebenarnya tadi aku diminta untuk mengimamkan solat maghrib di madrasah di taman perumahan aku tinggal ni. Tadi bukanlah kali pertama aku menjadi imam, malah sudah berkali-kali pun sebenarnya. Bilamana pak2 imam tak datang so aku la yang kena jadi imam..ish3, ada ke patut kan? 

Tapi takpe sebagai persediaan, nanti aku kena jadi imam untuk anak dan isteri pulak. Silap2 ayah mentua pun nak uji aku dengan menyuruh aku mengimamkan solat. =)

Tapi kenapa aku tetibe je nak cakap pasal ni ek? Haa, satu kejadian yg boleh dikatakan memalukan jugaklah telah berlaku tadi..huhu.. Rakaat pertama, semuanya berjalan lancar..nervous tu tetap adalakan. Mana tak nya yang jadi makmum kebanyakannya pakcik2 dan bilal2 yang dah expert dalam bidang dieorang. So sebagai orang muda yang sedang dalam proses belajar, risaulah juga tersilap dalam bacaan ke apa ke kan...

Naik rakaat yang kedua.. Pergh, termakbul apa yang dirisaukan. Aku memang hafal surah as-Sof tu, tapi masa rakaat yang kedua tadi tiba2 tersangkut. 2-3 kali jugakla aku repeat ayat yang sama untuk recall balik ayat yang lost tu..Last2 alhamdulillah dapat.. Masa tu kepala lutut aku dah goyang dh. Aku berdiri pun tak rasa kaki sentuh lantai. Rasa macam terapung je. Menggigil, suara pun dah tersekat-sekat....Tak sempat aku nak abiskan bacaan then terus rukuk.

Lepas azab..sampailah abis solat alhamdulillah tak ada apa benda pelik berlaku. Tapi kalau dah nak jadi tu jadi jugak. Nervous aku tak hilang lagi rupanya. Masa baca doa pulak terlupa kat tengah2. Sudah..sekali lagi aku dok ulang2 ayat yang sama, dah macam menghafaz depan tok guru pulak.. Merah muka aku masa tu. Tapi nasib baik aku menghadap ke depan. Kalau menghadap ke belakang memang makmum semua dapat tengok muka aku yang tersipu-sipu malu lagi comel tu..ngeh3...

Nasib baik dapat cover baik punya.....aku potong dengan doa rabitah. Fuh, macam gempak sikit doa tu, dieorang tak tau pun agaknye,hehe..Terus hilang khusyuk, astaghfirullah al-'Azim..huhu..

Tu lah, pengalaman dan pengajaran untuk diri sendiri. Banyak lagi kena belajar. Ilmu belum cukup lagi. Tapi insyaAllah pengalaman sentiasa menjadikan kita lebih matang dalam urusan kita..

p/s: Untuk diri sendiri, lepas ni jangan menyorok pulak bila orang minta jadi imam.. :-D hehe..

Thursday, April 21, 2011

Siapa pemilik cinta ku?

Tolong beritahu pada si dia 
aku ada pesanan buatnya..

Tolong beritahu si dia, 
cinta agung adalah cintaNya..

Tolong beritahu si dia,
cinta manusia bakal buatnya alpa..

Tolong nasihati si dia, jangan ingati ku 
lebih dari dia ingati yang Maha Kuasa..

Tolong nasihati si dia, dahulukan Allah
kerana di situ ada syurga..

Tolong katakan pada si dia, aku terpikat
kerana imannya bukan rupa..

Tolong ingatkan si dia,
aku kasihinya kerana santunnya..

Tolong tegur si dia, 
bila dia tenggelam dalam angan-angannya..

Tolong sedarkan si dia,
aku masih milik keluarga..

Tolong sedarkan si dia, usah ucap cinta
di kala cita-cita belum terlaksana.

Tolong sabarkan si dia, bila jarak jadi 
penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya, aku tidak mahu
menjadi punca kegagalannya..

Tolong pesan padanya, aku membiarkan
yang Maha Esa menjaga dirinya..



Tapi siapakah si dia?


Cintailah Dia nescaya kamu akan 
mendapat orang yang sama turut mencintaiNya.. =)





Saturday, April 9, 2011

:::Kesulitan Pendorong Kejayaan:::

Terharu aku mendengar kisah seorang rakan yang telah berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah pertamanya dengan cemerlang walaupun sepanjang tempoh pengajiannya itu dia tidak berpeluang merasai dan menikmati kemudahan seperti rakan2 yang lain.

Tidak seperti pelajar2 yang lain yang rata-rata hidup dalam keadaan yang selesa, cukup dari segi kewangan untuk menampung perbelanjaan makan minum di kampus, dibekalkan dengan kemudahan lain seperti laptop bagi tujuan pembelajaran dan menyiapkan tugasan, dan tidak ketinggalan juga kemewahan dari segi kenderaan seperti motorsikal dan kereta  yang sememangnya memudahkan lagi pergerakan untuk ke mana-mana.

Akan tetapi dia tidak dapat merasai segala kemudahan seperti itu atas faktor latar belakang keluarganya bukanlah daripada golongan yang senang. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah berangan-angan untuk mengecapi semua itu dan tumpang gembira dengan rakan-rakannya yang berpeluang merasai kemudahan dan kemewahan yang dia tidak perolehi.

Tidak pernah terdetik dalam hatinya untuk mencemburui kesenangan mereka, bahkan sentiasa berdoa semoga dia sendiri diberikan peluang untuk merasai semua itu kelak.

Hari-hari dilalui amat memenatkan. Berulang-alik dari kolej kediaman ke kampus dengan berjalan kaki, mengharungi hujan panas yang tidak menentu. Ditambah lagi dengan kesulitan sewaktu menyiapkan tugasan kerana terpaksa menggunakan kemudahan komputer di makmal yang disediakan dan atas sebab bilangan komputer yang terhad dia terpaksa bersaing sesama pelajar2 lain untuk menggunakan kemudahan tersebut. Sehingga lewat malam barulah berpeluang pulang ke kolej kediaman dan melabuhkan diri untuk berehat.

Malu untuk menceritakan kepada rakan2 lain tentang kesusahan yang dialaminya. Keriangan bersama rakan2 dan senyuman yang sentiasa terukir hanyalah untuk menutup kesedihan yang terbuku di hati. Tidak juga dia memberitahu kepada ibubapa nya kerana khuatir akan menyusahkan mereka kerana ibubapa mana yang sanggup melihat anaknya hidup dalam kesusahan. Dia terpaksa berjimat dengan mengikat perut dengan tujuan mahu menggunakan wang yang ada untuk keperluan yang lebih penting seperti membeli buku2, alat tulis dan apa2 sahaja ynag berkaitan pelajarannya.

Sedangkan untuk makan pun dia terpaksa berjimat, apa ntah lagi hendak merasai pakaian baru. Wang yang ada tidak digunakan utk membeli pakaian yang baru. Teringin juga kerana melihat rakan2 nya sering bertukar pakaian baru sedangkan dia hanya mengenakan pakaian2 sama sahaja hinggakan rakan2 yang lain sudah boleh menghafal warna baju2 yang dia ada.

Akan tetapi, kesukaran yang dia alami ini tidak membantutkan usahanya untuk kekal cemerlang dalam akademik. Dia mampu bersaing dengan rakan2 yang lain yang memperoleh kemudahan yang jauh lebih selesa daripadanya. Bahkan keputusan peperiksaan setiap semester adalah amat membanggakan dan jauh lebih baik jika dibandingkan dengan rakan2nya yang lain.

Dia sedar bahawa dialah yang bertanggungjawab untuk mengubah nasib diri dan keluarganya dan dengan sebab itu dia bekerja keras dan mengetepikan alasan yang boleh menghalang dia daripada menempa kejayaan.

Hari ini dia telah membuktikan bahawa dia mampu melakukannya. Dengan segala kekurangan semasa menuntut ilmu, hari ini kejayaan dan kelebihan sedang mula memihak kepadanya. Syukur alhamdulillah, dengan berkat kesabaran dan usaha yang berterusan dia mampu mengecapi kejayaan dengan senyuman yang bukan lagi palsu, tetapi benar2 senyuman kegembiraan..



Saturday, March 26, 2011

:::Original Sin:::

Pendahuluan
"Original Sin" atau apa yang dikatakan sebagai dosa yang diwarisi daripada kesalahan yang dilakukan oleh Nabi Adam AS merupakan satu konsep yang dicipta oleh puak Kristian yang sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Dosa yang dimaksudkan itu adalah tentang kesalahan Nabi Adam yang telah memakan buah daripada sepohon pokok sewaktu baginda berada di syurga.


Sejarah (Usuluddin)
Sebelum dijadikan Nabi Adam, hanya terdapat dua makhluk sahaja yang menghuni syurga pada ketika itu iaitu Malaikat dan juga Jin

Sifat malaikat: Dijadikan daripada cahaya. Iman mereka tidak berubah, tidak naik dan tidak turun. Makhluk yang paling taat. Hanya melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah. Tidak mempunyai akal utk berfikir, hanya mampu apa yang dikatakan sebagai "copy and paste" dalam melakukan apa2 amalan.

Sifat Jin: Dijadikan daripada api. Iman mereka boleh bertambah dan berkurang. Mempunyai beberapa sifat yang menyerupai manusia, tetapi tidak mempunyai akal utk berfikir, hanya mampu apa yang dikatakan sebagai "copy and paste" dalam melakukan apa2 amalan.

Saat Nabi Adam dijadikan, Allah memerintahkan semua makhluk yang lain supaya tunduk dan menghormati kepada Nabi Adam. Maka sekumpulan daripada Jin enggan patuh dan mempersoalkan kepada Allah bahawa mereka adalah golongan yang lebih mulia kerana dijadikan daripada api.- Peristiwa ini dikaitkan sebagai perbuatan diskriminasi pertama yang berlaku. (berdasarkan konsep "birth right", "feudalism")

*ramai yang terkeliru dengan mengatakan malaikat yang telah ingkar kepada perintah Allah. Kita kena tahu bahawa malaikat adalah makhluk yang paling taat dan iman mereka tidak pernah turun dan tidak pernah naik.

Jadi bagi menjawab pertanyaan Jin itu, lalu Allah telah menguji mereka dengan bertanyakan tentang nama dan fungsi setiap benda. Jin mampu untuk memberi nama kepada benda yang ditunjukkan kerana mereka telah diajar sebelum ini (sifat mereka "copy and paste"), akan tetapi mereka tidak mampu untuk menerangkan tentang fungsi benda tersebut kerana batasan akal yang mereka perolehi.

Akan tetapi bila ditanya kepada Nabi Adam, baginda juga mampu menamakan benda tersebut, kerana telah diajar sebelum itu, dan baginda mampu menerangkan tentang fungsi benda tersebut. Sebagai contoh, nama benda adalah "kerusi", fungsinya adalah untuk dijadikan sebagai tempat duduk.

Inilah kelebihan yang dimiliki oleh Nabi Adam ataupun manusia secara am nya. Akal fikiran yang dikurniakan menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling mulia kerana dengan akal sahaja dapat membezakan manusia dengan makhluk lain.

Dengan peristiwa itu, Jin berasa tidak berpuas hati dan masih juga enggan tunduk kepada Nabi Adam dan ini sekaligus membawa kepada kemurkaan Allah dan telah menukarkan mereka menjadi syaitan dengan wajah yang hodoh.

* Sifat yang kita perlu jauhi- 
1) Takabbur dan berputus asa. Ini kerana dengan sifat takabbur ataupun sombang telah menjadikan kumpulan jin tersebut makhluk yang paling hina, iaitu syaitan

2) Berputus asa pula adalah kerana mereka langsung tidak mahu meminta keampunan daripada Allah daripada dosa yang mereka lakukan, bahkan merasakan dosa mereka terlalu besar dan membuat andaian bahawa Allah tidak akan mengampunkan mereka. Pada hal jika mereka bertaubat sudah pasti Allah boleh mengampunkan mereka kerana Allah adalah yang Maha Pengampun.

Jadi dengan sebab itu mereka telah berputus asa daripada bertaubat kepada Allah. Lalu dengan hukuman yang telah diperolehi maka mereka membuat permintaan untuk terus melakukan dosa dan menggoda manusia. 

* Syaitan hanya mampu menggoda manusia, tetapi tidak mampu memaksa. Jadi apa2 perbuatan manusia adalah atas sebab pilihan manusia itu sendiri.

Dengan janji syaitan inilah manusia diuji dengan godaan ynag tidak henti-henti supaya turut sama mengijut jejak mereka.


Dosa Nabi Adam tidak diampunkan?
Berpunca daripada godaan syaitan, Nabi Adam telah melakukan kesalahan dengan memakan buah daripada sepohon pokok yang telah diharamkan oleh Allah kepadanya. Lalu Allah telah murka kepada baginda. Akan tetapi baginda telah bertaubat di atas dosa yang dilakukan dan Allah juga telah mengampunkan baginda. 

Hanya selepas diampunkan oleh Allah barulah Nabi Adam diturunkan ke dunia. Ini sangat berbeza dengan ajaran Kristian yang mana mengatakan Allah tidak mengampunkan Nabi Adam dan telah menghukum baginda dengan mencampakkannya ke dunia. 

Atas sebab dosa yang dilakukan, manusia tidak lagi dapat merasai kesenangan hidup seperti di syurga. Keperitan hidup di dunia merupakan satu balasan dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam dan dosa itu perlu "dibayar" oleh setiap manusia yang lain yang lahir di dunia ini. (Original sin)

Menurut pendapat Kristian juga, itulah sebabnya manusia menderita dengan "sakit perut", akibat daripada kesan dosa yang Nabi Adam telah lakukan. Selain itu juga manusia telah mewarisi dosa tersebut dan terpaksa melalui kehidupan ynag serba kekurangan.

Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam. Nabi Adam telah mendapat keampunan daripada Allah sebelum dihantar ke dunia.

Diampun, tetapi kenapa masih lagi dihukum?
Sebagai umat Islam, kita perlu jelas bahawa Allah menurunkan Nabi Adam bukanlah sebagai hukuman kepada baginda. Nabi Adam telah pun diampunkan ketika sebelum diturunkan ke dunia lagi. 

Penurunan baginda ke dunia bukan sebagai hukuman, tetapi sebagai peluang yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Adam dan manusia amnya untuk belajar tentang kehidupan. Jika manusia tinggal di syurga sudah pasti hanya akan merasai kesenangan sahaja. Sebaliknya di dunia manusia perlu melalui kesukaran hidup, memikul tanggungjawab yang berat dan bermacam lagi perkara yang menyakitkan yang tidak terdapat di syurga.

Dengan sebab keperitan dan kesusahan hidup ini, manusia akan berusaha untuk hidup dan cuba melaluinya dengan tabah. Ini sekaligus mendidik manusia mempunyai sifat sabar dan dengan kesabaran tersebut, akan timbul pula kesyukuran dalam hati manusia. Inilah nilai2 yang diperolehi oleh manusia yang dipanggil sebagai "virtue" yang mana mungkin tidak diperoleh jika manusia berterusan hidup di syurga.

Dengan ini juga, amat bersesuailah tanggungjawab manusia itu sebagai khalifah di muka bumi ini, yang bertanggungjawab menjadi pemimpin dan mampu mentadbir dunia.




Friday, March 25, 2011

Valentine's Day Dalam Konteks Moraliti



Valentine's Day merupakan satu hari istimewa yang telah dicipta oleh paderi Kristian bagi memperingati seorang wira yang bernama St Valentine. Beliau muncul sebagai wira selepas dikatakan telah mempertahankan pasangan2 kekasih pada zaman pemerintahan raja Rome pada ketika itu iaitu Raja Claudius II.

Raja Claudius II pada ketika itu telah menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan tentera untuk berkhidmat untuknya kerana beliau berpendapat kaum lelaki enggan menjadi tentera kerana takut terpaksa meninggalkan pasangan dan kekasih mereka untuk pergi ke medan perang.

Jadi dengan perasaan marah, Raja Claudius II telah mengharamkan perkahwinan pada ketika itu dan mengerahkan kaum lelaki menyertai tentera. Maka St Valentine muncul sebagai wira dengan mengahwinkan pasangan2 Kristian secara rahsia. Atas tindakannya itu maka dia telah ditangkap dan dijatuhkan hukumun bunuh pada tanggal 14 February sekitar tahun 270.

Sempena tragedi tersebut maka para paderi Kristian telah bersepakat menjadikan tarikh 14 February sebagai hari memperingati St Valentine ataupun dikenali sebagai Valentine's Day. Pada hari tersebut mereka akan menyambutnya dengan memberi ucapan, hadiah, memakai pakaian berwarna merah serta mengadakan jamuan bagi menunjukkan perasan cinta kepada orang2 tertentu.

Jadi apakah masalah bagi orang Islam untuk menyambutnya? Pertama sekali kita perlu lihat dari sudut keselariannya dengan ajaran Islam. Adakah Islam pernah menganjurkan sambutan yang sedemikian? Dengan sebab perayaan ini adalah ciptaan semata-mata dan tidak berasaskan syariah, maka ianya dikira sebagai bid'ah. Bid'ah adalah sesuatu yang diada-adakan yang langsung tiada kaitan dengan ajaran agama yang mana perkara itu merupakan benda yang ditokok tambah dalam kehidupan seharian. 

Maka setiap apa yang dikatakan bid'ah adalah haram. Oleh sebab itu segala bentuk aktiviti yang menjurus ke arah sambutan tersebut termasuklah walaupun dengan hanya memberi ucapan adalah tidak diterima kerana secara tidak langsung kita telah membenarkan dan menyambut perayaan tersebut.

Islam sendiri tidak pernah membenarkan hubungan cinta sebelum berkahwin. Cinta hanya kepada yang hak! Iaitu kepada Allah, rasul, ibupada, keluarga dan suami isteri.

Kedua kita perlu lihat dari sudut kesannya terhadap masyarakat. Sambutan yang sedemikian menggalakkan kepada hubungan bebas dan terbuka antara lelaki dan perempuan. Kita semua tahu bahawa pergaulan bebas akan mendatangkan kesan buruk seperti berlakunya zina, kes kandungan anak luar nikah dan akhirnya berlaku kes pembuangan bayi. Atas sebab ianya menyumbang kepada kesan2 buruk tersebut maka  sambutan itu dikatakan haram di sisi Islam.

Dengan ini ada beberapa cadangan bagi mengatasi masalah sosial yang berkaitan dengan Valentine's Day. Yang pertamanya setiap individu daripada kita perlu memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat ataupun sejarah wujudnya sambutan Valentin's Day ini. Percayalah bahawa kebanyakan daripada kita yang menyambut perayaan ini menyambutnya secara membuta tuli tanpa tahu apa sebenarnya Valentine's Day dan kaitannya dengan agama Kristian.

Selain itu peranan media seperti televisyen, surat khabar, radio, blog dan apa2 jaringan sosial perlu digunakan secara meluas dalam mempromosikan budaya Islam dan mengkritik budaya barat yang cuba diserap dalam masyarakat Islam. Media2 seperti ini penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat sekaligus dapat mendidik mereka tentang kebenaran.

Akhir sekali adalah institusi keluarga dan institusi pendidikan. Kita tahu institusi2 seperti ini adalah tempat pertama untuk mensosialisasikan diri kita. Jadi peranan penting kedua-dua institusi ini dalam mendidik masyarakat juga perlu dititik beratkan. 

Untuk menjadi seorang yang baik bukanlah dengan melakukan kebaikan itu sekali, tetapi perlu dilakukan berulang-ulang kali hingga menjadi sebati dengan diri kita. Menjadi kebiasaan antara kita hanya melakukan kebaikan hanya pada waktu2 tertentu, mengikut "mood". Akan tetapi jika perbuatan baik itu sudah sebati dengan diri kita, maka dalam apa2 situasi sekalipun kita akan tetap melakukan kebaikan.

Jadi bagaimana untuk menanam budaya yang baik ini? Sudah tentu ianya melalui latihan yang berterusan ataupun istiqamah. Untuk memperolehnya maka ianya perlu dilakukan dari peringkat awal iaitu peranan institusi keluarga dan institusi pendidikan dalam mendidik dan menanam budaya yang baik dalam usaha menyediakan generasi yang juga baik.

Jadi bagaimana untuk menunjukkan perasaan kasih sayang dan cinta kepada insan istimewa? Perasaan cinta adalah untuk mereka yang halal untuk kita sahaja, kepada maha Pencinta dan juga kepada rasulNya. Walaupun pasangan suami isteri, mereka tetap tidak boleh menyambut perayaan barat ini. Perasaan kita perlu ditunjukkan pada setiap masa, bukanlah dengan memilih hari2 tertentu untuk menzahirkan perasaan tersebut. Jika kita memilih tarikh 14 February untuk menzahirkan perasaan cinta kita, maka ianya adalah haram dan tidak diterima.

Disebabkan permasalahan ini dari segi moraliti, bagaimana pula dengan sambutan hari jadi, hari ibu, hari bapa, hari guru dan tidak ketinggalan juga sambutan maulidur rasul? Ini kerana semuanya disambut hanya pada hari2 tertentu dan langsung tidak berasaskan syariah dan ianya sudah tentu merupakan satu sambutan yang dicipta ataupun ditokok tambah dalam kehidupan seharian kita.

Bila berdiskusi dengan seorang sahabat, beliau berpendapat bahawa hukumnya adalah sama sahaja, iaitu sambutan seperti ini juga tidak boleh diterima. kerana jika dilihat dari sudut yang lain, kita telah mengguris hati dan perasaan golongan yang kurang berada. Mana tidaknya, tatkala orang lain menyambut hari jadi dengan kek dan memberi hadiah, si miskin yang tidak berkemampuan akan berasa cemburu dan sedih kerana tidak dapat menyambutnya. 

Tatkala anak2 menghadiahkan sesuatu kepada ibubapa pada hari istimewa tersebut, si anak yang hidup dalam keluarga yang daif pasti akan merasakan dirinya tidak berguna kepada ibubapa kerana tidak dapat turut sekali menghadiahkan sesuatu untuk mereka.

Disebabkan kesan yang ditanggung oleh segelintir masyarakat ini, ianya dianggap tidak adil kepada mereka dan sambutan ini secara tidak langsung sebenarnya juga tidak boleh diterima.

Bagaimana pula dengan sambutan maulidur rasul? Berkenaan dengan tarikh 12 Rabi'ul Awal, para ulamak sendiri berselisih pendapat samada tarikh tersebut merupakan tarikh kelahiran ataupun kewafatan nabi Muhammad SAW. Selain itu menurut sahabat aku itu juga, nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah menganjurkan sambutan hari lahir, para sahabat baginda yang terlalu rapat dengan baginda, yang terlalu cintakan baginda pun tidak pernah sekalipun menyambut hari kelahirann baginda. Jadi siapalah kita kerana hanya pada hari itu sahaja kita memperingat Nabi dan berselawat ke atas Nabi.

Ianya sekali lagi merupakan satu sambutan yang dicipta dan tidak berasaskan Islam. 

Daripada komen2 sahabat aku ini aku tidak dapat memberi banyak ulasan berkenaan itu. Maka sama-samalah kita berfikir dan cuba mencari jawapan kepada masalah ummah yang kita hadapi sekarang ini. Wallahua'lam~