Wednesday, July 16, 2014

:::Berdua Lebih Baik:::

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi sebab masih diberi nyawa untuk terus beribadat dan menjadi hambaNya. Semua ini merupakan "Tanda Kasih Sayang Allah.." Alhamdulillah.. =)

Terdapat perbezaan di antara entry sebelum ini dengan entry kali ini. Beza yang agak besar iaitu jika dahulunya saya menulis sebagai seorang yang bujang yang sentiasa menunggu tulang rusuk kiri supaya dijadikan teman hidup hingga ke syurga, tapi kali ini saya sudah pun menjumpainya dan baru sebulan lebih bergelar sebagai seorang suami.. Alhamdulillah~ 

Selama sebulan lebih mendirikan rumah tangga banyak perkara yang saya dan si dia harus pelajari terutama untuk mengenali satu sama lain seterusnya mewujudkan persefahaman. Orang asing yang tidak pernah wujud dalam hidup kita akhirnya tinggal sebumbung, tidur sebantal, makan sepinggan dan banyak lagi yang dikongsi bersama. Ya, memang suatu yang tidak pernah dibayangkan! Subhanallah.. Hebat sungguh percaturan Allah.. Indahnya hubungan yang dibina dengan tali pernikahan atas landasan syariat, demi mendapat redha dan rahmat Allah. 

Berkahwinlah wahai saudara-saudara ku.. Engkau akan beroleh keberkatan daripadanya. Ramai yang gusar memikirkan kos hidup yang tinggi malah gaji pula rendah. Lantaran itu mereka takut hendak berkahwin terus menangguh lalu membatalkan niat murni itu. 

Saya sarankan supaya kamu berkahwin. Jangan dikhuatiri itu semua. Niat yang baik Allah akan permudahkan. Rezeki orang berkahwin ini insyaAllah luas. Allah akan datangkan dengan pelbagai bentuk rezeki. Bukan sahaja dalam wang ringgit, tapi boleh jadi dalam bentuk ketenangan hati, kelapangan masa, keberkatan hidup, panjang umur, sahabat-sahabat yang baik dan sebagainya. Semua ini adalah jenis-jenis rezeki yang kita sering lupakan dan tidak hargai.

InsyaAllah dengan perkahwinan kita akan berasa cukup. Rezeki yang dahulunya hanya cukup-cukup untuk kita seorang, dengan berkat perkahwinan itu ia dapat dikongsi pula bersama isteri dan ia masih juga cukup. Jangan tunggu dan khuatir lagi. Masa depan, perkara ghaib dan segala bentuk rencana adalah urusan Allah. Kita sebagai manusia yang bergelar hamba hanya perlu berusaha, meminta dan berharap kepadaNya. InsyaAllah Dia bantu..

Jika hidup seorang diri kamu berasa sungguh sempit, maka carilah seorang isteri sebagai teman kerana "berdua itu lebih baik.." insyaAllah.
Sekali lagi semua ini merupakan "Tanda Kasih Sayang Allah.." =)


No comments:

Post a Comment